Wednesday, 14 October 2020

Rentas Negeri Guna Pesawat , 4 Didenda Ingkar PKPB Rentas Negeri

 


ROMPIN: Empat individu menjadi kumpulan kumpulan pertama dikenakan tindakan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan penumpang pengangkutan udara.


Kumpulan membabitkan seorang juruterbang dan tiga penumpang itu menaiki pesawat ringan jenis Piper Warrior PA 28 dan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang di Selangor ke Pulau Tioman, di sini.


Keempat-empat mereka berusia antara 33 hingga 43 tahun masing-masing dikenakan didenda kerana ingkar PKPB apabila gagal mendapatkan kebenaran polis bagi penerbangan ke Pulau Tioman.


Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon, berkata empat individu terbabit masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 2020.


"Semakan di Pusat Operasi COVID-19 negeri memaklumkan tiada seorang pun mempunyai kebenaran sebelum berlepas dari Subang. Mereka melakukan perjalanan rentas negeri dari kawasan PKPB tanpa kebenaran.


"Mereka memberitahu kunjungan terbabit untuk menguruskan perniagaan menyelam, tetapi gagal mempamerkan kebenaran perjalanan rentas negeri, pas majikan atau perjalanan dengan tujuan kerja.


"Mereka akan bermalam di sini, sebelum diarah berpatah balik ke Subang esok, kerana juruterbang memaklumkan dia tidak dibenarkan membawa pesawat malam ini dan pergerakan kumpulan ini akan dipantau pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sumber : BH