KUALA LUMPUR: Satu video menunjukkan seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari satu unit kediaman di Kondominium Putra Majestic, Jalan Ipoh, di sini, tular dalam laman media sosial, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, selepas lelaki berkenaan yang memakai seluar pendek dan berbaju T, warna hitam berdiri di luar tingkap unit kediaman berkenaan.
Difahamkan, semasa lelaki terbabit cuba membunuh diri, pihak pengurusan kondominium dan orang ramai yang melihat kejadian berkenaan turut memaklumkan kejadian kepada pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Bagaimanapun sebelum bantuan sempat tiba, lelaki berkenaan terus bertindak terjun dari unit kediaman berkenaan sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang dikejarkan ke lokasi kejadian.