Wednesday, 9 September 2020

Menteri Setuju isu Veveonah adalah masalah capaian internet

 


KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pagi tadi, bersetuju isu sebenar dihadapi pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin adalah berkaitan masalah capaian internet di kawasan pedalaman.


Perkara itu diberitahu oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam satu hantaran yang dimuat naik di Twitternya petang tadi.


Menurut Khairy, Kabinet mengambil maklum bahawa kenyataan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin adalah tidak betul dan tidak wajar.


"Jemaah Menteri pagi tadi sudah membincangkan isu Veveonah. Kabinet ambil maklum kenyataan dua timbalan menteri tidak betul dan tidak wajar.


"Kabinet setuju isu sebenar adalah capaian internet dan kemudahan asas lain khusus di pedalaman. Kerajaan akan usaha sebaik mungkin untuk perbaiki," katanya.


Sebelum ini, tular video yang menunjukkan pelajar jurusan Asasi Sains dari UMS itu, berada di atas pokok untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik bagi menjawab soalan peperiksaan pada 12 Jun lalu.


Pada 3 September lalu, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar membuat kenyataan dalam Dewan Negara bahawa kisah diceritakan Veveonah dalam satu video yang dimuat naik di Youtube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.


Zahidi kemudian mengakui terkhilaf semasa mendakwa Veveonah yang juga personaliti YouTube menipu kononnya terpaksa memanjat pokok bagi mendapat liputan internet bagi menjawab peperiksaan yang diadakan secara dalam talian.


Menurut Zahidi, beliau mengakui memperoleh maklumat daripada Abdul Rahim.


Pada 7 September lalu, Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat mendakwa isu yang dicetuskan Veveonah video berkenaan adalah palsu, malah beliau menganggap pelajar terbabit hanya 'membuat drama' bagi meraih perhatian.


Kenyataan daripada dua timbalan menteri itu pantas menerima kecaman dan kritikan warga media sosial termasuk pemimpin pembangkang antaranya Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menyifatkan tindakan kedua-dua timbalan menteri sebagai buli siber.