Monday, 7 September 2020

Kes Covid-19 Malaysia Kembali Meningkat


 PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan hari ini mencatatkan 62 kes baharu positif COVID-19 dengan 56 daripadanya adalah kes penularan tempatan, tertinggi sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan Julai lalu.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 30 daripada 56 kes itu membabitkan rakyat negara ini manakala 26 lagi adalah warga asing dan enam kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, membabitkan dua warga Malaysia dan empat warga asing.


Beliau berkata, dengan pertambahan sebanyak 62 kes itu, jumlah kes jangkitan COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 9,459 dengan kes aktif sebanyak 207 setakat tengah hari tadi.


Pada masa sama, sembilan kes sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj daripada hospial, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adapa 9,124 kes atau 96.5 peratus daripada keseluruhan kes.


"Daripada 62 kes baharu yang dilaporkan, 56 kes adalah kes penularan dalam negara yang membabitkan 30 warga Malaysia dan 26 warga asing.


"Sebanyak 50 kes adalah daripada Kluster Benteng LD di Sabah dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dikesan di Hospital Lahad Datu.


"Dua kes daripada Kluster Sungai di Kedah, satu kes saringan Kluster Telaga dan satu kes saringan bergejala di sebuah klinik pergigian di Alor Setar," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kes jangkitan tempatan dikesan di Pulau Pinang membabitkan kes saringan kontak rapat kepada kes positif terdahulu.

Sumber : BH