Saturday, 5 September 2020

Bekalan Air Selangor Pulih Secara Berperingkat

 

KUALA LUMPUR: Status pemulihan bekalan air di tujuh wilayah di Lembah Klang yang terjejas akibat pencemaran sungai, sudah mencapai sehingga 51.6 peratus.


Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya secara berperingkat.


Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga mengarahkan Air Selangor memaklumkan kepada pengguna mengenai jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan, selepas sistem agihan distabilkan.


"Saya turut mengarahkan SPAN menghubungi semua operator air seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd (SAJ) untuk turut membantu mengagihkan air kepada pengguna yang terjejas.


"Sehingga kini, Air Selangor menggerakkan 114 lori tangki termasuk sembilan daripada operator negeri lain, menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 pusat setempat serta mengagihkan lima liter air kepada pengguna yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Pencemaran Sungai Gong, Rawang ketika ini menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang ditutup bermula Khamis lalu, menyebabkan hampir 1.2 juta akaun di 1,292 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Semua LRA itu mula beroperasi semula pada jam 10.30 malam semalam dan mengambil masa 10 jam iaitu sehingga jam 8.30 pagi tadi untuk aktiviti pencucian dan pengepaman, sebelum dapat diagihkan kepada pengguna.


Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman dilaporkan berkata, pengguna akan mula menerima bekalan air sekurang-kurangnya empat hari selepas LRA mula beroperasi.


Sumber : BH