Wednesday, 9 September 2020

Ada Dakwaan Asri Janggut Yang Tidak Tepat

 


KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti beberapa fakta tidak tepat yang didakwa menerusi video ditularkan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata mengikut siasatan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, tiada laporan yang menunjukkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh terbabit dalam kegiatan berkenaan.


"Saya sudah teliti laporan itu dan beberapa perkara dibangkitkan dalam video itu kurang tepat.


"Penguatkuasaan kegiatan judi oleh IPD Sungai Buloh itu dilakukan dengan giatnya, namun ada beberapa kelemahan dikenal pasti dalam kalangan anggota namun ia bukan kelemahan besar.


"Ketua Polis Daerah Sungai Buloh (Superintendan Shafa'aton Abu Bakar) pun sebagai wanita menjalankan peranan dengan baik," katanya pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.


Bulan lalu, Mohd Asri mendedahkan dua rakaman video menerusi laman sosial Facebook, berhubung apa yang didakwanya sebagai aktiviti perjudian, penjualan rokok seludup dan perniagaan haram.


Mengenai inti pati laporan JIPS Bukit Aman, Abdul Hamid berkata, ia merangkumi siasatan menyeluruh termasuk latar belakang dan situasi kewangan anggota serta pegawai berkaitan.


"Kita dapati tidak ada anggota dan pegawai yang hidup mewah, memiliki kekayaan luar biasa atau diberikan ganjaran dan rasuah.


"Saya juga ambil kira beberapa kesulitan warga polis di IPD Sungai Buloh antaranya bangunan serta pejabat di situ bertaraf balai.


"Selain itu, hanya 11 pegawai dapat menduduki kuarters kediaman di kawasan IPD itu manakala yang lain menetap di merata tempat," katanya.


Sumber : BH