Friday, 21 August 2020

Tandas Lutsinar Tarikan Pelancong Di Jepun

 




Tokyo: Dua taman di sini menarik perhatian pelancong apabila menampilkan tandas awam dengan dinding lutsinar.

Tandas yang direka Shigeru Ban Architects sebagai sebahagian daripada Projek Tandas Tokyo The Nippon Foundation mempunyai dinding tembus penglihatan yang kemudiannya boleh bertukar gelap ketika pengguna memasuki kemudahan dan mengunci pintu.

Tandas yang dipasang di Taman Mini Yoyogi Fukamachi dan Taman Komuniti Haru-no-Ogawa itu direka khusus bagi mereka yang menggunakan kemudahan terbabit menentukan sendiri tahap kebersihan masing-masing.

"Ada dua perkara yang kita bimbangkan ketika memasuki tandas awam, terutama yang terletak di taman," kata laman web Projek Tandas Tokyo.



Menurutnya, yang pertama adalah kebersihan dan yang kedua adakah terdapat orang di dalamnya.

"Dindingnya berubah dari lutsinar menjadi kabur apabila kunci pintu diaktifkan.

"Ini membolehkan pengguna memeriksa kebersihan dan orang di luar juga dapat menentukan sendiri kebersihannya.

"Pada waktu malam, kemudahan itu menerangi taman seperti tanglung yang indah," kata laman web itu.

Pengguna diingatkan untuk mengunci pintu kerana jika tidak dindingnya tidak akan kelihatan kabur menyebabkan orang luar dapat melihat 'aktiviti' dilakukan di dalam tandas itu.
Setiap dua kemudahan itu merangkumi tandas lelaki, wanita dan campuran.