Wednesday, 19 August 2020

Balai Sentul ditutup gara-gara individu gelang pink


SEPANG - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan laporan yang tular di media sosial berkaitan Balai Polis Sentul ditutup selepas mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Abdul Hamid berkata, berdasarkan maklumat awal, hanya bahagian kaunter aduan ditutup dan operasi balai berjalan seperti biasa.

"Saya dimaklumkan kejadian itu berlaku apabila seorang individu bergelang merah jambu hadir ke balai itu untuk membuat aduan dirinya diganggu orang awam.

"Pegawai yang bertugas kemudian mendapati individu terbabit mempunyai simptom batuk sebelum dilaporkan kepada pihak hospital," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, KKM telah meminta kawasan itu ditutup dan kementerian berkenaan dijangka memberi maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut petang ini.

Terdahulu tular di media sosial satu notis dikeluarkan memaklumkan Balai Polis Sentul ditutup sementara bertarikh 19 Ogos selepas diarahkan pihak KKM melalui Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber : BH