Wednesday, 22 July 2020

Sugu gelisah suami hadapi 3 pertuduhan polis


IPOH: Youtuber masakan yang suaminya ditahan reman tiga hari pagi tadi, kerana disyaki mendera isteri serta memiliki senjata bahaya di tempat awam, memohon diberi ruang menyelesaikan masalah peribadi yang sedang dihadapinya.

Wanita berusia 28 tahun itu yang turut berada di Mahkamah Majistret Ipoh pagi tadi, kelihatan gelisah dan tidak selesa ketika menyaksikan suaminya dibawa polis dalam keadaan digari dan berpakaian lokap.

Lelaki berusia 29 tahun itu, kini berdepan siasatan polis berhubung penderaan dan pemilikan bahan kakisan susulan laporan polis yang dibuat oleh isterinya dan petugas Hospital Raja Permaisuri Bainun Hospital (HRPB) Ipoh.

Ketika dihampiri media di perkarangan mahkamah, wanita itu enggan memberi sebarang kenyataan, sebaliknya masuk menunggu di dalam sebuah kereta dipandu seorang wanita yang juga saudaranya.

Seorang saudaranya yang juga lelaki bertindak sebagai pengurus kepada Youtuber itu, memberitahu pasangan terbabit perlu diberi masa untuk berehat dan menyelesaikan masalah peribadi dihadapi mereka.

"Mereka juga mungkin tidak akan muncul dalam sebarang program dalam tempoh beberapa minggu ini," katanya yang memohon namanya tidak disiarkan ketika ditemui media di perkarangan Mahkamah Majistret Ipoh.

Suami Youtuber terbabit yang juga bekas buruh estet di Sungai Siput, ditahan polis petang semalam selepas dia dikesan membawa senjata bahaya dalam keadaan mabuk di Hospital Raja Perempuan Bainun.

Susulan kejadian itu juga, tiga laporan polis dibuat terhadap lelaki terbabit di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh, malam tadi.

Berdasarkan maklumat diterima media, kejadian bermula di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 10 malam kelmarin, apabila berlaku perselisihan di antara lelaki berkenaan dengan isterinya.

Lelaki terbabit dikatakan berang kerana namanya tidak disebut oleh isterinya pada satu majlis anugerah di Ipoh baru-baru ini.

Perselisihan itu berlanjutan hingga semalam apabila lelaki terbabit yang berada dalam keadaan mabuk, bertindak memukul mangsa sebelum pergi ke HRPB untuk mencari adik iparnya sambil membawa sabit.

Kejadian itu disedari jururawat sebelum menghubungi bantuan anggota pondok polis hospital menyebabkan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Lelaki terbabit kini berdepan siasatan memiliki senjata berbahaya mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual, selain mengikut Seksyen 326 dan 506 Kanun Keseksaan.

Sumber : BH