Sunday, 5 July 2020

Polis Trafik ditahan minta rasuah pemandu lori


JOHOR BAHRU: Tiga polis trafik berpangkat koperal ditahan selepas disyaki meminta rasuah RM4,000 daripada seorang pemandu lori dalam satu sekatan jalan raya, dekat sini, pada 4 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Khan, berkata ketiga-tiga anggota itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang, ditahan pada 9.30 pagi, 4 Jun lalu.

"Tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu berusia antara 32 hingga 39 tahun ditahan polis berikutan disyaki terbabit dalam aktiviti pemerasan terhadap seorang pemandu sebuah lori perdagangan yang membawa muatan berlebihan.

"Namun, pemandu itu membuat aduan menyebabkan ketiga-tiga anggota berkenaan ditahan polis.

"Siasatan mendapati mereka meminta wang sebanyak RM4,000 daripada pemandu lori berkenaan. Itu baharu satu lori, bayangkan jika sudah minta RM4,000 daripada tiga pemandu lori lain sudah RM12,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua JSPT Johor, Superintendan M Kumarasan.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, ketiga-tiga anggota terbabit disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana membuat pemerasan.

Ditanya sama ada tiga anggota berkenaan terbabit dalam kes pemerasan lain, beliau berkata, perkara itu sedang disiasat.

Katanya, polis Johor tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pegawai atau anggota polis terbabit bersekongkol dengan aktiviti jenayah termasuk rasuah.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang yang ada atau diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

"Perkara ini sudah lama berlaku. Kita bukan ambil tindakan popular namun sebaliknya mahu membersihkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari sebarang aktiviti salah laku jenayah.

"Tiada lagi siasatan dalaman sebaliknya kertas siasatan akan disiapkan bagi pendakwaan sekiranya terdapat bukti kukuh pembabitan anggota dalam sebarang jenayah dan salah laku, " katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, Johor Bahru dan Batu Pahat dikenal pasti sebagai lokasi popular dijadikan 'litar lumba' oleh samseng jalanan atau Mat Rempit di negeri ini.

"Sejumlah 26 operasi Ops Samseng Jalanan dilancarkan sejak 1 Jun hingga 30 Jun lalu,dengan 60 tangkapan dilakukan.

"Semua 60 suspek yang ditahan membabitkan samseng jalanan berusia antara 15 hingga 26 tahun. Polis Johor akan meningkatkan operasi berterusan bagi mengekang samseng jalanan bermaharajalela di negeri ini, " katanya.

Sumber : BH