Sunday, 5 July 2020

Pertubuhan Rohingya Minta Sokongan Dunia


SHAH ALAM - Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhom) meminta sokongan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar.

Presiden Merhom, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, pemimpin dunia perlu mempunyai kepimpinan moral dan kehendak politik bagi menjamin keadilan serta keamanan sejagat demi masa depan generasi akan datang.Menurutnya, Tuhan mencipta manusia dengan pelbagai perbezaan supaya saling mengenali antara satu sama lain dan bukan untuk membunuh serta membenci.

"Kita memerlukan lebih banyak pemimpin yang mempunyai kepimpinan moral dan kehendak politik bagi mengekalkan menyelamatkan nyawa manusia di dunia ini.
"Kami etnik Rohingya tanpa kewarganegaraan memerlukan suara anda untuk membantu kami menghentikan pembunuhan beramai-ramai.

"Tanpa sokongan anda dan pemimpin dunia terkemuka, kami akan terus menjadi mangsa pembunuhan sejak berpuluh tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zafar berkata, pemimpin dunia perlu bersatu dan mendengar suara etnik itu bagi mencari kaedah terbaik membantu mereka. Katanya, meskipun berbeza bangsa namun ia tidak sepatutnya menghalang masyarakat dunia melindungi etnik Rohingya.

Sumber : Sinar Harian