Thursday, 2 July 2020

PATI warga indonesia ditahan cuba menyusup keluar dari Malaysia


KUALA LUMPUR: Seramai 24 termasuk tiga tiga wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan seorang tekong warga tempatan, ditahan pasukan Rejimen ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) di Sungai Rengit, Johor, malam tadi.

Kesemua PATI terbabit ditahan oleh 61 RAD, yang sedang melaksanakan Op Merpati 1, di sektor Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) di kawasan Tanjung Ayam, Sungai Rengit, sekitar jam 10.30 malam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak Melaka dalam kenyataan berkata kesemua PATI yang ditahan dipercayai sedang dalam perancangan untuk pulang ke negara asal.

"Mereka ditahan semasa pasukan 61 RAD, diketuai Kapten Amirul Zubir Mohammad Naim, yang sedang melakukan rondaan keselamatan menerima maklumat dari pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung terdapatnya pergerakan PATI.

"Hasil maklumat pasukan 61 RAD melakukan serbuan dan menahan kesemua 24 PATI terbabit dan seorang lelaki rakyat tempatan dipercayai bertindak sebagai tekong yang membawa PATI berkenaan," katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

Hasil serbuan sama, pasukan 61 RAD turut merampas sebuah kenderaan jenis Hyundai Starex, yang dipercayai digunakan untuk membawa kesemua PATI terbabit.

"Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut selain diarah untuk menjalani pemeriksaan saringan COVID-19 oleh Klinik Kesihatan Bandar Penawar, pagi ini," katanya.

Susulan perkembangan semasa pandemik COVID-19 dan jenayah rentas sempadan, pihak Tentera Darat melalui formasi 3 Divisyen dan pasukan di bawah naungan sentiasa berwaspada dan meningkatkan kawalan keselamatan dalam menangani kejadian yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kedaulatan negara.

Sumber : BH