Sunday, 5 July 2020

Mayat terakhir mangsa bot karam ditemui


BACHOK: Mayat mangsa terakhir bot terbalik, Arman Ismail, 43, ditemui jam 2.20 petang tadi pada jarak 40 batu nautika dari Jeti Perikanan Kemasin, di sini.

Penemuan terbaharu itu melengkapkan pencarian mangsa bot terbalik yang hilang apabila mayat mereka dijumpai genap seminggu kejadian malang itu berlaku.

Identiti Arman disahkan kakak sulungnya, Aida Ismail, 50, berdasarkan pakaian mangsa selain penemuan kad pengenalan tertera nama mangsa mengukuhkan lagi pengesahan identiti mayat berkenaan.

Arman, yang juga biras kepada tekong bot, Hazahar Mat Sanisah, 48, menjadikan korban bot terbalik di Perairan Kemasin, Isnin lalu, seramai lapan orang, manakala 12 lagi selamat.

Menerusi penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 81 anggota daripada pelbagai agensi ditamatkan hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Isnin lalu, bot yang dinaiki 20 individu termasuk pemancing dan awak-awak terbalik akibat ombak besar dan ribut.

Sumber : BH