Friday, 17 July 2020

4 kluster baharu dikenal pasti Covid-19 Malaysia


KUALA LUMPUR- Malaysia mencatatkan sebanyak 18 kes baharu positif Covid-19 dan empat kluster baharu telah dikenalpasti setakat jam 12 tengahari tadi.

Keempat-empat kluster baharu itu ialah Person Under Investigation (PUI) Pitakwa, PUI Shirala, Kluster Perubatan Kuching dan Kluster Jupiter.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah tersebut lapan adalah penularan tempatan melibatkan enam warganegara Malaysia manakala baki dua adalah rakyat asing.

“Bagi penularan dalam negara, ia melibatkan empat kes di Sarawak yang mana satu adalah kes jangkitan respiratori teruk (SARI) di Hospital Umum Sarawak.

“Satu lagi kes adalah daripada Kluster Pusat Perubatan Kuching dan dua kes hasil saringan di tempat kerja. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Terdapat dua kes daripada PUI Pitakwa di Terengganu,” katanya.

Bagi kes jangkitan dalam negara yang melibatkan rakyat asing, Noor Hisham berkata, terdapat satu kes daripada Kluster PUI Shirala di Kuala Lumpur dan satu lagi kes saringan sebelum berlepas ke luar negara.

Pesakit tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Bagi kes import pula, tujuh kes melibatkan warganegara Malaysia dan baki tiga adalah bukan warganegara.

Tiada kematian dilaporkan hari ini manakala jumlah kes yang dirawat di unit rawatan rapi adalah tiga dan tiada pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh dan didiscaj adalah tiga orang.

Sumber : MalaysiaGazette