Tuesday, 23 June 2020

Trak tentera terbabas , 3 maut seorang parah



RANAU: Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut manakala seorang cedera parah selepas trak tentera dinaiki mereka terbabas di Jalan Ranau-Tamparuli berhampiran Kampung Bundu Tuhan, Tamparuli di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.55 tengah hari itu, mangsa yang meninggal dunia adalah LK PAP Maslim Abdul Rahim; LK I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan; LK I TMK Muhammad Arif Idris Mangsa cedera parah; LK II TLR Vincent M Orel.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.03 tengah hari, tujuh anggota bergegas ke lokasi bersama satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, maklumat awal kemalangan dipercayai ketika semua mangsa dalam perjalanan dari pangkalan TLDM Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan menuju pangkalan TLDM Sepanggar.

"Tiga mangsa maut dikeluarkan orang awam dan dihantar ke hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu menggunakan lori polis."

"Mangsa cedera parah diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital Ranau menggunakan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya.

Katanya, pemeriksaan lokasi dan kenderaan turut dijalankan bagi mencegah bahaya lain.

"Punca kejadian dalam siasatan polis manakala operasi ditamatkan pada jam 3.20 petang," katanya.

Sumber : BH