Monday, 1 June 2020

Pemandu mabuk digantung lesen hingga kes selesai


KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai aksesori didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas dakwaan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penghantar makanan awal pagi tadi.

Tertuduh, Khor Yong Zhang, 21, mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Zhang didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Mohamed Zaili Mohamed, 44.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang mana kandungan alkohol di dalam badan sebanyak 161 mg/100 ml iaitu melebihi 81 mg/100 ml daripada had yang ditetapkan sebanyak 80 mg/100 ml.

Justeru, tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan dan menyebabkan kematian kepada penunggang motosikal Honda EX5, Mohamed Zaili Mohamed, 44.

Kejadian berlaku di Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Tun Razak di sini, jam 1.30 pagi tadi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM8,000 hingga RM20,000 dan penjara antara tiga tahun hingga 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan.

Pegawai Pendakwa, Abdullah Khazali, yang mengendalikan kes, menawarkan jaminan RM10,000 dan memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, Khairul Amin Abdullah, memohon jaminan rendah atas alasan masih muda dan akan membuktikan tidak bersalah ketika perbicaraan pada masa akan datang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 1 Julai depan

Media pagi ini, melaporkan pemandu mabuk merempuh seorang penunggang motosikal sehingga maut dalam kejadian ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan dijual isterinya di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa mati akibat tercampak, manakala motosikal ditunggangnya diseret sejauh dua kilometer.

Sumber : BH