Saturday, 6 June 2020

Kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi


SELEPAS ditunggu-tunggu sejak lebih dua bulan lalu, kerajaan bersetuju membenarkan perkhidmatan gunting rambut, dan kecantikan dan yang berkaitan dengannya bermula 10 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, aktiviti dibenarkan ialah gunting rambut, cuci rambut, cukur misai dan jambang, solekan dan dandanan rambut, pedicure, menicure dan cuci muka.

Katanya, penggunaan apron pakai buang untuk setiap pelanggan adalah perlu dan tukang gunting juga perlu menggunakan penghadang muka dan sarung tangan ketika menggunting rambut.

"Bagi yang berisiko tinggi seperti 60 tahun ke atas, proses gunting adalah secara temujanji dan hadir sendiri tanpa ditemani sesiapa.

"Mungkin untuk elakkan percampuran dengan orang ramai kerana warga emas adalah berisiko tinggi," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Katanya, gunting rambut kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun juga dibenarkan dan mereka perlu memakai pakaian perlindungan diri.

Ismail Sabri berkata, SOP am yang lain seperti pemakaian pelitup muka, pembasmi kuman, periksa suhu dan mengambil nama adalah yang perlu dipatuhi seperti biasa.

Ketika ditanya mengenai perkara sama, beliau berkata gunting rambut dari rumah ke rumah adalah digalakkan dan masih perlu mematuhi SOP ditetapkan.

Sumber : MH