Monday, 29 June 2020

4 Maut Bot Karam


BACHOK - Empat lelaki terkorban, empat lagi masih hilang manakala 12 terselamat dalam kejadian bot karam dibadai ribut di perairan Kemasin sejauh 10 batu nautika dari Jeti Pangkalan Kemasin di sini malam tadi.

Kejadian berlaku pada jam 8.30 malam membabitkan bot nelayan yang membawa 20 lelaki termasuk pemancing berusia antara 18 sehingga 60 tahun.

Antara 12 yang terselamat ialah tekong bot yang berusia 60 tahun berasal dari Kuala Besar, Kota Bharu manakala dua daripada empat mangsa yang meninggal dunia dikenalpasti Mohd Syahrizan Daud berusia 40-an dan Harun Daud, 50, kedua-duanya dari Pasir Mas.

ABDULLAH MOHAMMAD PIAH
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kumpulan yang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan jiran sekampung dari Kampung Padang To' La, Pasir Mas tersebut keluar memancing pada jam 3 petang dari jeti Kuala Besar.

Katanya, sebelum kejadian itu bot mereka dalam perjalanan untuk pulang namun dipukul ribut yang amat kuat menyebabkan tali sauh terputus hingga bot hilang keseimbangan.

“Ketika titu datang ombak besar datang menyebabkan bot tersebut terbalik di tengah-tengah lautan. Ada mangsa yang meninggal dunia ditemui terbelit pada tali sauh berkenaan.

“Mereka menjerit meminta pertolongan dan kejadian disedari nelayan bot lain yang berada berhampiran segera menyelamatkan mangsa-mangsa, bagaimanapun dua daripada mereka sudah meninggal dunia sebelum dua lagi mayat ditemukan selang beberapa jam kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Pangkalan Kemasin di sini malam tadi.

Salah seorang daripada 12 mangsa yang diselamatkan oleh bot nelayan lain selepas bot dinaiki terbalik dibawa ke jeti pangkalan Kemasin malam tadi.
Beliau berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima pihak berkuasa pada jam 10.11 malam tadi. Seramai 86 anggota termasuk PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Kesemua mangsa yang terselamat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut manakala mayat di bawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

“Operasi masih diteruskan bagi mencari empat lagi mangsa yang hilang,” katanya.
Sementara itu, bermula jam 12 tengah malam, perkarangan Jeti Pangkalan Kemasin dipenuhi ahli keluarga dan kenalan untuk mengetahui keadaan mangsa yang terlibat.

Sumber : SN
geng wokyoh