Friday, 29 May 2020

Tun M mahu pecat Muhyiddin, guna cara yang betul


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata beliau dan penyokongnya mahu memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi mahu tindakan itu dilakukan dengan cara yang betul.

"Kami mahu memecatnya. Kami akan mengadakan sidang Majlis Tertinggi, ” katanya pada sidang media Jumaat selepas ditanya jika beliau mahu Muhyiddin dipecat kerana membawa Bersatu keluar daripada Pakatan tanpa persetujuan majlis tertinggi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu Muhyiddin, Dr Mahathir berkata beliau dimaklumkan bahawa perdana menteri itu sedang dikuarantin.

"Ada seseorang positif Covid-19 dekat dengannya. Perlu berada sekurang-kurangnya satu meter. Jadi sekarang dia tidak boleh bertemu sesiapa selama 14 hari," katanya dalam nada sinis.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau hadir kepa ibu pejabat Bersatu dekat Petaling Jaya untuk membincangkan surat pemecatannya oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

"Suhaimi kata dia akan bertemu saya tetapi dia kata sedang menunggu Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Namun kedua-duanya tidak hadir.

"Saya tidak menyangka melakukan sidang media ini dan kemudian saya diberitahu Hamzah sedang mengadakan sidang media di tempat lain.

"Setiausaha kerja nampaknya lebih hebat daripada saya sebagai pengerusi, dan kerjanya sebenarnya mengatur jadual untuk mesyuarat.

"Saya sekarang memecat Suhaimi dan melantik Datuk Shazmi Miah dari Bersatu Kelantan sebagai setiausaha kerja yang baharu.

"Bersatu mempunyai peraturan terhadap ahli Umno yang ingin menyertai parti itu. Mereka mesti keluar dari Umno dan kemudian mohon masuk Bersatu dan mereka tidak boleh memegang jawatan apa pun.

"Oleh itu Hamzah (bekas ahli Umno) tidak boleh menjadi setiausaha agung.

"Setiausaha Agung masih Datuk Marzuki Yahya. Tan Sri Muhyiddin melakukan banyak kesalahan," katanya.

Sumber : mS Online