Tuesday, 26 May 2020

Suspek Memandu Dalam Keadaan Mabuk Sejauh 7KM Sebelum Rempuh Mangsa


KUANTAN - Seorang peraih ikan memandu secara berbahaya secara melawan arus sejauh tujuh kilometer (KM) sebelum merempuh kereta yang dipandu seorang kakitangan Alam Flora sehingga menyebabkan mangsa maut, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, itu hasil siasatan awal yang dilakukan oleh polis terhadap nahas itu yang meragut nyawa, Irwan Herman Kamarudin, 41.

Menurutnya, suspek berusia 42 tahun memandu secara melawan arus dari simpang Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) sehingga ke lokasi kejadian dipercayai dalam keadaan mabuk.

"Siasatan awal, mendapati suspek dipercayai baru selesai mengambil minuman keras di rumah kawan bertempat di Taman Andora Peak, Semambu dan menuju ke arah Jalan Pintasan Kuantan, kira-kira jam 9.38 malam tadi. Susulan tindakan suspek memandu secara berbahaya menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa mengelak bagi memastikan tiada perlanggaran berlaku.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba lokasi kejadian, suspek telah merempuh kenderaan kereta Toyota Yaris yang dipandu mangsa sehingga menyebabkan dia meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi kejadian, tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas kecederaan parah di kepala dan dada selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh oleh suspek yang memandu kereta Toyota C-HR secara melawan arus dan dalam keadaan berbahaya.

Suspek hanya mengalami kecederaan ringan di kaki dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas selesai ujian koronovirus (Covid-19).

Kamarulzaman berkata, pihaknya membuka dua kertas siasatan terhadap suspek, sejurus menerima satu lagi laporan daripada pemandu lain dalam kejadian itu.

Katanya, selain siasatan di bawah Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian atau kecederaan ketika memandu di bawah pengaruh alkohol, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) akta yang sama untuk memandu laju dan berbahaya.

"Selain kemalangan maut, kita ada pemandu lain telah membuat laporan berasingan yang mendakwa bahawa suspek memandu sehingga pergeseran kenderaan berlaku sebelum nahas maut itu berlaku," katanya.

Sumber : SHgeng wokyoh