Sunday, 17 May 2020

Ramai Degil Cuba Rentas Negeri


KUALA LUMPUR: Ramai yang masih degil cuba melakukan perjalanan rentas negeri apabila sebanyak 1,248 kenderaan diarah berpatah balik ketika cuba melepasi sekatan jalan raya semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding kelmarin iaitu 508 kenderaan.

"Ini bermakna lebih sekali ganda rakyat yang cuba curi-curi pulang ke kampung dengan pelbagai alasan. Jadi saya harap tak perlu cuba pulang ke kampung.

"Lebih-lebih lagi Aidilfitri nanti. Setakat ini polis hanya mengarahkan berpatah balik tetapi jika dikenakan kompaun, sudah pasti kita yang rugi," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 132 individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Katanya, jumlah tangkapan itu bertambah dari sehari ke sehari.

"Nampaknya setiap hari, mereka yang gagal patuh larangan dan SOP bertambah daripada satu ke sepuluh seterusnya meningkat 72 semalam dan hari ini meningkat kepada 132.

"Mungkin ramai yang anggap PKPB tidak tertakluk dalam mana-mana undang-undang. Justeru saya mohon supaya setiap individu patuh kepada arahan dan SOP yang dikeluarkan kerajaan," katanya.

Sumber : BH