Thursday, 14 May 2020

PKP kemungkinan bakal dilaksana semula


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu bersedia berdepan kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa semula, sekiranya penularan jangkitan COVID-19 yang sebelum ini mencatatkan penyusutan kembali meningkat.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menitipkan pesanan bahawa apa yang berlaku ketika situasi semasa mungkin berbeza dengan persekitaran semalam.

Sehubungan itu, katanya, setiap keputusan kerajaan sebenarnya bergantung kepada situasi semasa dan data mengenai kadar penularan COVID-19 yang diperoleh dari Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kita lihat banyak negara di dunia seperti Jerman, Korea Selatan, China dan sebagainya membuka negara mereka (daripada perintah berkurung atau kawalan pergerakan), tetapi apabila situasi berubah, akhirnya mereka perlu tutup semula.

"Kita baca berita semalam bahawa Arab Saudi yang sebelum ini tiada penutupan sepenuhnya di negara terbabit, kini mengenakan perintah berkurung selama 24 jam berkuat kuasa untuk lima hari, iaitu dari 23 Mei hingga 27 Mei.

"Oleh itu, lima hari termasuk ketika Aidilfitri, negara mereka ditutup atau dikenakan perintah berkurung, tetapi kita bernasib baik apabila kerajaan memberikan sedikit kelonggaran.

"Bagaimanapun, setiap kebebasan perlu dihargai dengan penuh tanggungjawab , iaitu menjaga kepentingan diri dan masyarakat, termasuk keselamatan keluarga sendiri," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.

sumber : BHgeng wokyoh