Thursday, 28 May 2020

Penonton Indonesia mahu FIZI UPIN UPIN mohon maaf



GARA-GARA satu babak watak Fizi yang menyakitkan hati tular dalam episod baru siri animasi Upin Ipin, peminat dari Indonesia menuntut watak itu supaya memohon maaf.

Pengarah Kandungan Kreatif Les Copaque, Nur Naquyah Burhanuddin berkata, itu antara permintaan mereka selepas babak terbabit meruntun hati ramai yang menontonnya.

"Episod berjudul Syahdunya Syawal itu sebenarnya ditayangkan pada hari pertama Aidilfitri di saluran MNCTV. Tiba-tiba tular pula, apabila penonton marahkan Fizi sampai terbawa ke laman sosial.

"Ini membuktikan dengan jelas mereka (penonton Indonesia) sangat ambil berat dan sayangkan Upin Ipin. Disebabkan itu, ramai yang teremosi apabila Fizi berkata syurga tiada buat anak yatim seperti mereka.

"Apapun, tidaklah serangan penonton itu terpalit juga pada penerbit

disebabkan mereka pun faham, ia sekadar watak dalam lakonan. Cuma, penonton nak sangat Fizi buat permohonan maaf terbuka dan ada atau tidak babak itu? Nantikan," katanya.

Berkongsi lanjut, Naquyah berkata babak berkenaan memang sengaja diwujudkan apa lagi persoalan mengenai 'di mana syurga buat anak yatim' terus berlegar dalam masyarakat.

"Sewaktu perbincangan, idea berkenaan terbit untuk mencetuskan pertanyaan mengenainya. Niat kami tidak lain untuk memberikan ruang kepada penonton untuk mengupas isu ini," katanya.

Ahad lalu, kecoh di Indonesia apabila peminat Upin Ipin menyuarakan kemarahan terhadap Fizi. Keterlanjuran katanya dalam dialog terbabit, benar-benar membuatkan ramai sebak.

Serta-merta, komen 'Fizi is cancelled' menjadi tular di laman sosial terutama Twitter. Bahkan, sedutan video itu kini menjadi perbualan pada kalangan peminat Upin Ipin tempatan juga.

Untuk rekod, siri berkenaan sudah memasuki musim ke-14 di Indonesia, manakala tayangannya di dalam negara menerusi Astro Ceria baru menjengah musim ke-13.

Sumber : HM