Thursday, 28 May 2020

Penjawat Awam Mengaku bersalah palsukan dokumen rentas negeri



ALOR SETAR : Seorang penjawat awam didenda RM1,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan memalsukan dokumen kebenaran merentas negeri, Isnin lalu.

Mohd Norhisham Ismail, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berkerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Putrajaya didakwa mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen.

Tertuduh sepatutnya pulang ke Putrajaya pada 17 Mei lalu, namun dia dipercayai menukar tarikh pada surat berkenaan ke tarikh 26 Mei bagi membolehkannya tinggal lebih masa di kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Dia bersama isterinya memberi alasan pulang ke negeri ini untuk menghantar ubat kepada bapanya di Pendang.

Tertuduh datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran dari Pendang ke Putrajaya, bagaimanapun pihak polis meminta lelaki itu mengemukakan surat kebenaran dari Putrajaya dan mengesyaki sesuatu mencurigakan pada surat berkenaan.

Berikutan itu, anggota polis menghubungi pihak yang mengeluarkan surat kebenaran di Putrajaya sebelum mendapati terdapat tarikh yang berbeza dan mengesahkan individu itu sepatutnya pulang pada 17 Mei lalu.

Berikutan itu, lelaki terbabit dan isterinya tidak dibenarkan pulang ke Putrajaya sehingga siasatan kes selesai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, ini kes pertama membabitkan pemalsuan dokumen untuk merentas negeri di negeri ini.

Sumber : BHgeng wokyoh