Friday, 29 May 2020

Pekerja syarikat kurier maut dirempuh pemandu mabuk


KUALA LUMPUR : Seorang pekerja syarikat kurier maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh pemandu mabuk di Kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutuan hala ke ibu negara dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lelaki berusia 42 tahun yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya yang parah kini dirawat di Zon Merah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Difahamkan, kedua-dua mangsa adalah rakan sekerja dan tinggal serumah dan mangsa yang meninggal dunia dikatakan baru tiga hari bekerja di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya.

Ketika kejadian, kedua-duanya baru habis bertugas dan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata hasil siasatan mendapati pemandu kereta berkenaan hilang kawalan dan melanggar motosikal mangsa yang berada di laluan motosikal.

"Pembonceng motosikal, lelaki berusia 42 tahun maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal, lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke PPUM.

"Pemandu kereta adalah lelaki tempatan yang juga seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta berusia 22 tahun. Dia tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan mendapati pemandu berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian mendapati paras alkohol di dalam tubuhnya tinggi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata pihaknya menerusi Op Alkohol akan memperhebatkan lagi usaha mengekang dan membanteras kesalahan membabitkan pengguna jalan raya terutama mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol.

"Ini kerana mereka boleh membahayakan keselamatan orang ramai dan boleh mengakibatkan kematian kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya

Sumber : BH