Friday, 15 May 2020

Ayam Mahal Di Kedah



ALOR SETAR : Harga ayam di negeri ini meningkat sejak seminggu lalu kepada antara RM8 hingga RM9.50 sekilogram.

Peniaga memberi alasan mereka menjual mahal kerana terpaksa membayar tinggi kepada pembekal yang memaklumkan kekurangan bekalan ayam disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Peniaga, Mohd Zuhair Zahir, 36, berkata, dia yang berniaga ayam sejak 12 tahun lalu sebenarnya hendak membantu pelanggan dengan menjual ayam pada harga berpatutan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana harga yang diperoleh daripada pembekal sentiasa meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, biasanya modal yang dikeluarkan sekitar RM4 untuk sekilogram ayam tetapi kali ini mereka terpaksa keluarkan RM8 sekilogram iaitu naik dua kali ganda.

"Disebabkan itu kami terpaksa menaikkan harga (runcit) ayam kerana jika tidak peniaga akan menanggung kerugian lebih besar apatah lagi keuntungan yang diperoleh juga sangat kecil berbanding sebelum PKP.

"Selepas ditolak dengan bayaran gaji pekerja dan kos lain, berapa sahaja yang boleh dapat untuk menyara keluarga," katanya di sini hari ini.

Mohd Zuhair berkata, sebelum PKP fasa pertama, ayam dijual antara RM5 hingga RM6 sekilo tetapi apabila masuk awal bulan ini harga mula meningkat.

Pengerusi Peniaga Pasar Besar, Fauzi Sharif, berkata setiap hari dia bersama peniaga lain bertanyakan kepada pembekal dan mereka kerap mendapat alasan sama bahawa berlaku kekurangan bekalan menyebabkan harga ayam terpaksa dinaikkan.

Katanya, masalah ini menyebabkan pelanggan menganggap peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga ayam sesuka hati.

"Harga (borong) ayam naik mendadak yang mana pada minggu pertama bulan puasa harganya murah namun pada minggu ketiga harga ayam meningkat iaitu RM7.90.

"Ketika saya membuat pemantauan di pasar ini semua peniaga ayam memberi jawapan sama iaitu bekalan yang berkurangan daripada penternak," katanya.

Berikutan itu, Fauzi meminta pihak berkuasa melakukan pemeriksaan terhadap pembekal ayam dan menyiasat alasan sama adakah benar atau tidak ketiadaan bekalan yang dimaksudkan.

Sementara itu, pelanggan, Ahmad Khairil Mazwan, 40, berkata, dia berharap harga ayam kembali stabil berikutan Aidilfitri bakal disambut minggu depan.

Katanya, kenaikan harga ayam menyebabkan pelanggan terbeban terutama bagi mereka yang tidak bekerja akibat wabak COVID-19.

Sementara itu Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, Omar Ismail, mengesahkan pemeriksaan pihaknya mendapati ada kenaikan harga ayam.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini ayam masih belum ditetapkan harga siling.

"Bagaimanapun kita masih menyiasat untuk mendapatkan punca kenaikan di semua peringkat dan setakat ini pihak kami sudah mengeluarkan sebanyak tujuh notis sehingga semalam mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (notis pengesahan maklumat barangan dan perkhidmatan)," katanya ketika dihubungi.

Sumber : BH