Wednesday, 27 May 2020

15 kes baharu COVID-19 - 27 May 2020



PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu COVID-19 hari ini kembali dua angka iaitu 15 kes berbanding dua hari sebelumnya, manakala kes sudah pulih sepenuhnya turut meningkat sebanyak 42 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes pulih itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 6,083 kes atau 79.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, bagi jumlah kes baharu pula ia menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 7,619 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,421 kes.

"Sehingga kini, seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut empat individu masih memerlukan bantuan pernafasan.

"Sehingga jam 12 tengah hari, dimaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dan jumlahnya kekal sebanyak 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Sumber : BH