Thursday, 28 May 2020

10 Kes Baharu Covid-19 Paling Rendah Setakat Ini - 28 May 2020


PUTRAJAYA : Jumlah kes baharu COVID-19 hari ini terus mencatatkan dua angka iaitu sebanyak 10 kes, manakala kes pulih meningkat sebanyak 86 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan kes pulih itu, ia menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 6,169 kes atau 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, bagi jumlah kes baharu pula ia menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 7,629 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,345 kes.

"Setakat dilaporkan hari ini, lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Sumber : BH