Thursday, 4 January 2018

Isteri Tuntut Cerai Kerana Suami Lebihkan Dirinya Dari Ibu Kandung


BAHA, ARAB SAUDI: Seorang lelaki Arab Saudi berusia 29 tahun terkejut besar apabila isteri yang amat dicintainya, merujuk kepada mahkamah bagi menuntut cerai.

Suaminya yang sudah ditinggalkan itu tidak tahu mengapa isterinya mahu menuntut cerai daripadanya meskipun beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk isterinya.

Bagaimanapun, wanita itu tetap bertegas dengan permintaannya mahu bercerai.

Dalam petikan laporan Saudi Gazette, beliau akur suaminya memenuhi segala kemahuannya tetapi beliau tetap bertegas ingin meninggalkan suaminya kerana suaminya lebih memilih dirinya (si isteri), berbanding ibunya sendiri.

"Saya tidak boleh mempercayai lelaki yang melakukan segala-galanya untuk isterinya tetapi menolak permintaan ibunya walaupun kecil," katanya kepada hakim.

Kedua-dua suami dan isteri itu tidak dikenal pasti nama mereka. Suami berkenaan, yang benar-benar terkejut, memberitahu hakim bahawa beliau tidak mahu meninggalkan isterinya dan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan hubungannya tetapi isterinya menolak mentah-mentah tawaran itu.

PERCAYA, LELAKI SEPERTI ITU BOLEH BERPALING BILA-BILA MASA SAHAJA

Wanita tersebut akur bahawa suaminya sudah membelanjakan wang yang banyak ke atas dirinya, membawanya melancong ke luar negara dan membelikannya segala-galanya yang beliau inginkan, tetapi mengatakan beliau tidak mahu menyambung hayatnya bersama lelaki itu.

"Seseorang lelaki yang tidak berbuat baik dengan ibunya tidak boleh dipercayai. Dia boleh berpaling dari saya bila-bila masa saja di masa depan," katanya, lapor Saudi Gazette.

Suaminya yang terkejut kemudian bertanya kepada isterinya, "Bukankah saya meninggalkan keluarga saya sendiri demi awak?"

Beliau kemudian menjawab: "Ya, dan ini jugalah sebabnya mengapa saya mahu menuntut cerai daripada awak."

Wanita itu memberitahu hakim bahawa segala yang dikatakan oleh suaminya di mahkamah adalah benar dan beliau tetap mahu meninggalkannya kerana beliau lebih memilih dirinya (si isteri), berbanding anggota keluarganya, termasuk ibunya.

ISTERI PULANGKAN WANG HANTARAN

Beliau juga memberitahu hakim beliau tidak sanggup menunggu hari di mana suaminya akan meninggalkannya sebagaimana lelaki itu meninggalkan ibunya.

Wanita tersebut turut memulangkan wang hantaran yang diberikan suaminya dan hakim juga mengesahkan penceraian itu.

Sumber kehakiman juga memuji wanita itu atas pendirian mulianya dan berkata beliau berada di pihak yang benar kerana menuntut cerai memandangkan suaminya meletakkan dirinya lebih tinggi daripada darjat ibunya.

Beliau juga berkata wanita itu berpendapat seseorang lelaki yang meninggalkan ibunya sendiri demi wanita lain tidak boleh dipercayai sama sekali.

Sumber berkenaan, seperti dipetik Saudi Gazette, mengatakan sebilangan lelaki yakin, mengikut arahan isteri mereka dan melakukan segalanya untuk mereka adalah cara untuk meraih cinta sejati.

"Ini tidak betul. Seorang lelaki mesti meletakkan keluarganya, terutama sekali ibunya, melebihi segalanya," katanya.

Beliau berkata isterinya tidak suka kerana beliau memenuhi lebih banyak permintaannya berbanding wanita yang melahirkannya, membesarkannya dan mengorbankan seluruh hayatnya demi kebahagiannya.