Sunday, 14 January 2018

Gadis 15 Tahun Dirogol Teman Lelaki, Lima Rakan


KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 19 tahun tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dakwaan merogol kekasihnya secara bergilir-gilir dengan lima rakan.

Remaja itu didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun sembilan bulan, kali pertama pada jam 2 pagi hingga 4 pagi, dalam Jun 2017. Kali kedua, ketika mangsa berusia 15 tahun 11 bulan pada jam 2 dan 3 pagi, pada Ogos 2017.

Sementara rakanya, Mohamad Hakimie Muhamad, 21, dan Muhammad Husien Abu Bakar, 20, didakwa merogol mangsa antara jam 3 pagi sehingga 4 pagi pada Ogos 2017.

Dakwaan terhadap mereka dibuat di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin, manakala dakwaan terhadap remaja dua remaja berusia 16 tahun dan seorang remaja berusia 15 tahun dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Pasir Puteh, esok.

Kesemua kejadian didakwa berlaku di sebuah perumahan di Kampung Kulim, Pasir Puteh.

Kesemua rakan tertuduh juga tidak mengaku salah atas tuduhan itu dan berhasrat melantik peguam untuk perbicaraan kes berkenaan.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala mereka belum diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul memohon tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan perubatan dan tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Februari depan.

Tiada jaminan dibenarkan Ahmad Bazli.

Sumber : Sinar Online