Sunday, 7 January 2018

Anwar Ibrahim Dibebaskan 8 Jun


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan daripada penjara pada 8 Jun depan.

Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar, berkata pengiraan tempoh hukuman perlu dijalani Anwar dan tarikh pembebasannya dibuat Jabatan Penjara mengikut ketetapan Seksyen 44, Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43 (1) (a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

"Akta dan Peraturan tersebut memberikan 1/3 remitan daripada hukuman kepada mana-mana banduan yang menjalani hukuman melebihi satu bulan.

"Justeru Peraturan 28, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 juga menjelaskan bahawa jika pembebasan seseorang banduan jatuh pada hari kelepasan mingguan atau hari kelepasan am, banduan hendaklah dibebaskan pada hari sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, berdasarkan pengiraan dengan remitan itu, tarikh pembebasan Anwar adalah pada 10 Jun 2018, tetapi berikutan tarikh itu jatuh pada Ahad dan 9 Jun adalah Sabtu, maka Anwar boleh dibebaskan pada 8 Jun 2018.

Katanya, sehingga kenyataan itu dikeluarkan, Jabatan Penjara Malaysia dan Penjara Sungai Buloh tidak menerima apa-apa waran atau perintah dari mana-mana pihak berkuasa mengarahkan hukuman terhadap Anwar dipinda.

"Tarikh pembebasan Anwar pada 8 Jun juga tiada sebarang kaitan dengan pelaksanaan Sistem Parol atau apa-apa perintah dari Lembaga Pengampunan," katanya.

Sumber: BH Online