Sungai Petani: Hanya kerana menolak ajakan rakannya
mengambil minuman keras bersama menyebabkan seorang lelaki warga Vietnam
menerima tujuh jahitan di leher selepas diserang dengan pisau oleh suspek di
kediaman asrama pekerja di Taman Perdana, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi, mangsa pada mulanya
melihat rakan senegaranya yang berusia 30-an mabuk bersama rakan lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi
Abdul Hamid berkata, suspek mengajaknya minum bersama tetapi dia menolak.
Menurutnya, suspek terus bangun dan masuk ke dalam
bilik sebelum keluar semula dengan membawa pisau.
“Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri merayu
suspek tidak menyerangnya, namun suspek tetap memaksanya minum bersama walaupun
dia menolak dengan memberi alasan akan bekerja keesokan paginya.
“Dalam keadaan mabuk, suspek menyerang mangsa dengan
pisau dan terkena pada lehernya menyebabkan mangsa berlari keluar meminta
pertolongan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Saifi berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultan
Abdul Halim oleh pengawal keselamatan dan menerima tujuh jahitan.
“Polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu
menahan suspek bagi membantu siasatan.
“Suspek direman bermula semalam (kelmarin) hingga 18
Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber: New Straits Times Press (M) Bhd