ORANG kata melentur buluh biarlah
dari rebungnya; perumpamaan itu sering digunakan untuk membentuk kanak-kanak
yang masih kecil untuk menjadi individu berguna semasa sudah dewasa kelak.
Oleh itu, peranan ibu bapa dalam
mencorakkan peribadi anak-anak mereka amatlah besar dan tidak boleh diambil
mudah.
Bagaimanapun, lain pula halnya dalam
insiden yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam sebuah video rakaman CCTV,
seorang wanita dilihat bersekongkol dengan dua orang kanak-kanak untuk mencuri
di sebuah kedai yang terletak di Sungai Petani, Kedah.
Pemilik butik yang terletak di Tesco
Sungai Petani Selatan, Kedah itu menceritakan kejadian yang berlaku pada 21
Disember lalu di akaun Facebooknya.
Menurutnya, seorang wanita
berkemungkinan warga Thailand yang berusia dalam lingkungan 30-an bersama
seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki telah mencuri
telefon pintar butik tersebut.
Pada mulanya, mereka bertiga
berlegar-legar di sebuah kedai berhadapan butik tersebut sambil meninjau-ninjau
ke kaunter.
Mereka kemudiannya masuk ke butik
tersebut sebelum wanita itu didekati pekerja butik.
Sedang ralit pekerja itu melayan
wanita tersebut, kedua-dua kanak-kanak itu dilihat mendekati kaunter sebelum
kanak-kanak lelaki mula mencapai telefon pintar yang terletak di kaunter
berkenaan.
“Anak-anaknya mundar-mandir dari maknya ke kaunter banyak kali
dan mereka seperti berbahasa Siam.
“Staf melayan
mesra emaknya, anaknya buat kerja! Panjang tangan, mencuri,”tulisnya di Facebook.
Setelah ‘misi’nya untuk mencuri selesai, ketiga-tiganya dilihat
beredar dari butik tersebut untuk menyelamatkan diri.
Tambah pemilik butik itu lagi, kejadian itu seperti telah
dirancang terlebih dahulu.
Dalam pada itu, pemilik butik tersebut turut berpesan kepada
mana-mana pihak yang terjumpa dengan tiga beranak itu untuk membawa mereka ke
balai polis untuk tindakan lanjut.
Sebagai ibu, wanita tersebut seharusnya menunjukkan contoh yang
baik dan bukan mengajar perkara negatif yang boleh merosakkan akhlak
anak-anaknya sendiri. Pelik sungguh perangainya!
Sumber: MYNEWSHUB