SHAH
ALAM: Kira-kira 270,000 penduduk sekitar Klang dan Shah Alam tidak perlu lagi
membayar tol di Lebuhraya Persekutuan, bermula hari ini.
Ini berikutan Tol
Sungai Rasau, Klang dan Tol Batu Tiga, dekat sini, secara rasmi dimansuhkan
sempena Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,
selepas 24 tahun beroperasi.
Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata pemansuhan tol di dua
tempat berkenaan akan meringankan beban penduduk sekitar Shah Alam dan Klang.
Katanya, pemansuhan itu
adalah perjuangan UMNO Shah Alam yang setiap tahun mengusulkan pada Mesyuarat
Bahagian supaya kutipan tol terbabit dimansuhkan.
"Tahun ini, Ogos
lalu, Perdana Menteri sendiri datang rasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Shah
Alam.
"Kita minta, kalau
tidak tutup (mansuh) kedua-dua tol itu, satu pun jadilah tetapi Perdana Menteri
buat keputusan diam-diam.
"Perjuangan ini
adalah untuk rakyat. Kita kurangkan kos sara hidup mereka," katanya ketika
berucap di Majlis Kesyukuran Sempena Penutupan Tol Sungai Rasau dan Tol Batu
Tiga, di sini, malam tadi.
Yang
turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin,
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ismail Md Salleh dan Ketua
UMNO Bahagian Shah Alam merangkap Penyelaras Kerajaan Persekutuan Parlimen Shah
Alam, Datuk Azhari Shaari.
Sejak 15 November 1993,
pengguna mula membayar RM0.50 untuk laluan Tol Sungai Rasau, dan RM0.60 bagi
Tol Batu Tiga dan kini perlu membayar RM1 di Tol Sungai Rasau, serta RM1.10 di
laluan Batu Tiga.
Bagaimanapun, ketika
membentangkan Bajet 2018, Najib mengumumkan pemansuhan kutipan di kedua-dua tol
berkenaan.
Keputusan pemansuhan
itu dibuat 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan menerusi
perjanjian konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Berikutan pemansuhan
itu juga, operasi serta penyelenggaraan Lebuhraya Persekutuan diletakkan di
bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya dan diwartakan sebagai Jalan
Persekutuan.
Pemansuhan itu membantu
pengguna jalan raya Kelas 1 yang melalui Sungai Rasau berjimat dari RM92.40
hingga RM126 sebulan, manakala di Batu Tiga, dijangka boleh berjimat sebanyak
RM48.40 hingga RM66 sebulan.
Sumber:
BH Online