DATUK
Seri Aliff Syukri Kamarzaman akan menyelesaikan urusan membabitkan kereta Rolls
Royce yang didakwa disita dalam Op Patuh di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur malam
tadi, selepas pulang dari luar negara, esok.
Beliau ketika dihubungi
hari ini berkata, dia kini berada di Bali, Indonesia atas urusan perniagaan dan
sangat terkejut selepas mendengar berita berkenaan selain tidak tahu-menahu
keretanya disewa oleh dua warga asing atau mengenai penggunaan Lesen Kenderaan
Motor (LKM) kenderaan itu.
"Saya tidak tahu
mengenai kereta saya yang disewakan kepada orang lain dan segala urusan
mengenai kereta berkenaan dilakukan oleh pengurusan syarikat,” katanya.
Menurutnya
yang juga Pengarah Urusan D'herbs Holding Sdn Bhd, dia mengakui kesilapannya
itu dan meminta maaf kepada pihak JPJ serta akan memastikan perkara sama tidak
berulang.
"Saya akui
kecuaian saya ini dan memohon maaf kepada pihak berkuasa. Apabila balik ke
Malaysia nanti, saya akan uruskan perkara ini.
"Sebenarnya saya
tidak menggunakan kenderaan itu dan segala urusan perjalanan di Malaysia
menggunakan kereta Toyota Vellfire.
"Saya tidak mahu
memperbesarkan hal ini dan akan menyelesaikannya dengan Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ) apabila balik ke Malaysia nanti," katanya.
Malam tadi kereta mewah
milik Aliff dianggarkan berharga lebih RM1 juta itu disewa oleh dua warga asing
disita selepas pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai lesen
memandu sah di negara ini.
Selain itu, seorang
daripada mereka yang turut berada dalam kenderaan itu tidak mempunyai dokumen
perjalanan sah.
Pemeriksaan lanjut yang
dijalankan JPJ turut mendapati kenderaan itu menggunakan LKM atau cukai jalan
Sarawak sedangkan kenderaan terbabit digunakan di Semenanjung.
"Saya meminta
netizen agar tidak mengecam saya seolah-olah melakukan kesalahan besar seperti
seorang penjenayah yang merompak dan merogol.
"Apabila saya buat
baik orang tak pandang, tapi apabila timbul masalah seperti ini netizen menuduh
saya macam-macam. Malu saya dibuatnya," katanya.
Sumber:
Harian Metro