Monday, 4 December 2017

Mayatnya Menghitam, Kembang Bagai Belon.

Tiga yang telah Allah haramkan baginya syurga: Orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya." - (hadis riwayat Ahmad).

SEWAKTU arwah mak long meninggal dunia di hospital, tiada saudara-mara yang berada di sampingnya. Sebelum itu, sudah lebih dua minggu mak long terlantar sakit di hospital. Menurut kata doktor, mak long menderita penyakit lemah jantung. Saya yang mendapat berita kematian mak long daripada salah seorang jirannya segera bersiap untuk melawat jenazah.

Biarpun saya hanyalah berpangkat anak buah, namun saya agak rapat dengannya. Dalam kepala saya terbayang wajah mak long yang bujur sirih, kulitnya yang putih bersih. Badanya pula kecil molek. Terimbau kenangan ketika masih kecil bersama mak long. Perlahan-lahan saya seka air mata yang berlinang.

Setibanya kami di hospital, saya lihat jenazah mak long sudah siap sedia untuk dibawa pulang. Tidak mahu mengganggu prosedur pihak hospital, saya hanya memerhatikan jenazahnya yang dilitupi kain putih. "Tak apalah, jom kita tunggu jenazah mak long di rumah," kata suami yang berdiri di sisi saya.

JENAZAH yang tiba diangkat dan diletakkan di tengah rumah. Saya meninjau mencari kelibat anak- anak mak long, tapi tiada seorang pun yang kelihatan. Hanya ada beberapa orang penduduk kampung yang turut membantu dalam urusan penyediaan barangan untuk mengapankan jenazah.

Waktu itu, saya ambil peluang untuk melihat wajah mak long. Saya selak perlahan kain yang menutupi Wajahnya, dalam hati saya menahan sebak. "Ish, ini bukan mak long. Dia orang salah ambil jenazah ke?" bisik hati kecil saya. Mana tidaknya, mak long yang saya kenali kecil molek orangnya. Namun jenazah yang saya lihat itu mengembang, bagai belon yang diisi angin. Wajah pula tiada langsung iras seperti mak long. Sebaliknya, mayat itu hitam legam dengan keadaan mata separuh tertutup. Lidahnya pula terjelir sehingga hampir ke dagu.

Astaghfirullah, tak mungkin itu mak long saya! Waktu itu perasaan saya bercampur-baur. Jika benar itu jenazah mak long, sebak hati saya melihat keadaannya. Dalam hati saya berdoa agar ALLAH mempermudahkan segala urusan mak long. Perlahan-lahan saya cuba rapatkan mata arwah menggunakan kedua-dua ibu jari. "Ya Allah, Kau mudahkanlah. Jangan disusahkan..." doa saya berkali-kali dalam hati. Alhamdulillah, mata mak long kembali tertutup rapat, tetapi lidahnya kekal terjelir. Saya cuba juga untuk masukkan semula lidahnya, tetapi tak berhasil. Saya takut hendak memaksa kerana tahu arwah baru sahaja berhadapan seksa dicabut nyawa. Sudah pasti seluruh anggota tubuhnya masih sakit.

Kubur lain-lain

Bagi yang sudah lama menetap di kampung kami, pastinya kenal dengan mak long. Walaupun usianya sudah menginjak ke 60-an, mak long masih lagi berpakaian seperti anak dara. Rugged! Rambutnya diwarnakan perang, gayanya tak ubah seperti anak remaja.

Sebenarnya, mak long baik orangnya. Dia rajin membantu jika ada yang memerlukan pertolongan. Cuma satu silapnya, mak long langsung tidak mahu mengamalkan ajaran Islam. Malahan, anak-anaknya juga hidup tidak berlandaskan agama. Lapan orang anak Mak long semuanya berpelesiran. Setiap seorang daripada mereka ada 'anak tidak sah taraf'.

Bukan tiada yang menegur kelakuan mereka, namun semuanya kembali terdiam apabila Mak long pula yang bertempik marah. "Tak payah nak tegur-tegur aku. Kau jaga hal kau, aku jaga hal aku. Mati nanti kubur masing-masing. Tak payah nak berlagak alim!" Mak long berang apabila ada di antara penduduk kampung yang tidak tahan melihat perlakuan anak-anaknya cuba menasihati. "Anak sendiri tak reti jaga, ada hati nak tegur anak orang!" sampai begitu sekali marahnya mak long setiap kali ada yang cuba menegur kelakuannya.

Sebagai anak saudara kepada mak long, tipulah kalau saya tak terasa dengan perlakuannya. Pernah juga saya cuba menegur, tapi ibu saudara saya itu hanya dengar endah tak endah.

Saya bersyukur segala urusan mak long akhirnya dipermudahkan llahi. Cuma, hati saya terkilan apabila tiada seorang pun anak arwah yang turut serta dalam urusan 'menghantar' ibu mereka ke alam sana. Setahu saya, Mak long sangat sayangkan anak-anaknya. Semasa hayatnya masih ada, beliau akan cuba sedaya upaya memenuhi permintaan mereka. Begitu sekali kasih seorang ibu. Tetapi anak-anaknya pula, entahlah...

Kubur mendap, berlubang...

Beberapa bulan setelah mak long dikebumikan, saya dikejutkan dengan kedatangan seorang jiran ke rumah saya. "Kak Za, kalau ada masa tolonglah lawat kubur mak cik Ros tu. Kesian saya tengok. Saya nak sampaikan pada anak-anak dia tak berani. Akak tau jelah perangai dia orang macam mana," adu Azmil anak kepada jiran arwah Mak long. "Kenapa pulak dengan kubur mak long akak tu? Nisan dia tumbang ke?" soal saya pada Azmil. Setahu saya, anak-anaknya pernah memberitahu kubur ibu mereka sudah siap dibina dan dipacakkan nisan bertulis. "Saya tak nak cakap di sini kak, takut orang kata bawa mulut pula. Bila-bila akak senang pergilah melawat kuburnya tu," beritahu Azmil sebelum berlalu pergi.

Petang itu juga saya pergi ke kubur arwah. Mengucap panjang bila saya lihat keadaan kuburnya. Tanah kubur mak long mendap ke bawah sehingga boleh nampak penutup liang lahadnya di dalam. "Astaghfirullah! Abang, boleh tak carikan tanah? Kita kambus sikit kubur mak long ni?" pinta saya pada suami. Mujurlah suami ada membantu. Lalu kami kambus kembali kubur itu dengan tanah baru sehingga ia meninggi seperti kubur-kubur yang lain.

Dalam hati saya tidak putus-putus berdoa supaya dosa mak long diampunkan. Beberapa hari kemudian, saya datang lagi ke kubur arwah. saya terkejut kerana keadaannya masih mendap. Aneh. Sedangkan saya sudah kambus sebelum itu dan tiada langsung lubang. Namun bila datang kali kedua tidak sampai seminggu selepas dikambus, kubur mak long mendap semula. Tanah yang saya kambus sudah tiada, bahkan berlubang pula di tengahnya.

Tak silap saya, hampir lima enam kali juga saya berulang alik menambah tanah di kubur mak long. Ada juga saya beritahu perkara itu pada anak-anaknya, namun jawapan yang saya terima nyata mengecewakan. "Dah nasib mak memang macam tu. Kak Zah nak kami buat macam mana lagi?" kata Sarah, anak kedua mak long. Dia hanya acuh tidak acuh dengan perkara itu. Walaupun sudah hampir sepuluh tahun kejadian itu berlaku, hingga hari ini ia masih segar dalam ingatan saya.

Dan sampai sekarang, anak-anak arwah mak long masih berperangai serupa. Sudah puas ditegur, namun semuanya tak makan saman. Penduduk kampung juga sudah lali melihat perbuatan maksiat yang mereka lakukan dalam rumah peninggalan arwah ibu mereka. Terbaru, saya dengar orang kampung bising-bising bila dikatakan rumah mak long sudah mula jadi 'port' penagih dadah. Saya hanya mampu berdoa dari jauh. Saya sudah jenuh menegur mereka, malah saya pula yang diherdik. Semoga mereka mendapat hidayah sementara masih hidup di dunia ini.

NOTA: Saya dalam kisah di atas hanya ingin dikenali sebagai Zaharah. Beliau merupakan anak saudara kepada si mati yang diceritakan dalam kisah di atas. Kejadian yang sudah berlaku lebih 10 tahun itu diceritakan semula dengan harapan dijadikan pengajaran buat pembaca.

Kisah Dan Teladan