Tuesday, 12 December 2017

Lima Warga Emas Maut Pusat Jagaan Orang Tua Terbakar


KAJANG – Lima warga emas maut dalam satu kebakaran di Pusat Jagaan Novel Care Home Centre di Sungai Long awal pagi tadi.

Selain lima mangsa itu, seorang warga emas turut cedera akibat kejadian berkenaan.
Kejadian pukul 4.50 pagi itu melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat yang dijadikan pusat jagaan orang tua.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.06 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi.

“Seramai sembilan orang berada dalam banglo itu di mana lima daripadanya maut, seorang cedera dan tiga lagi berjaya diselamatkan.

“Mangsa pertama ditemui pada pukul 6.05 pagi manakala mangsa terakhir ditemui pada pukul 7.07 pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Sementara itu, satu sidang akhbar berhubung kejadian berkenaan akan diadakan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof pada pukul 10 pagi nanti.

Sumber: K! Online