LIMA sekeluarga maut apabila Perodua Viva dinaiki
mereka merempuh bas ekspres di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru - Seremban
berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat, 6 petang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub
Selamat berkata, ketika kejadian, Perodua Viva dinaiki lima individu dipercayai
sekeluarga membabitkan lelaki dan wanita dewasa, masing-masing seorang
kanak-kanak lelaki dan perempuan serta bayi lelaki, dalam perjalanan menuju ke
Johor Bahru dari arah Segamat sebelum hilang kawalan lalu berpusing di tempat
kejadian.
"Kereta berkenaan kemudiannya memasuki laluan
bertentangan sebelum bertembung bas ekspres.
Akibat pertembungan kuat itu, tiga penumpang iaitu
lelaki dan wanita dewasa yang duduk di bahagian depan dan seorang kanak-kanak
di bahagian belakang meninggal dunia di tempat kejadian.
"Seorang kanak-kanak dan bayi lelaki yang duduk
di bahagian belakang, parah dan dibawa ke Hospital Segamat, malangnya disahkan
meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi,
sebentar tadi.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan
mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang
mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu
siasatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat
Bandar Baru Segamat, Mohd Aizad Mamat berkata, menerima panggilan kecemasan
pada 6.11 petang dan satu jentera membabitkan lapan anggota termasuk pegawai
dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, apabila tiba, pihaknya mendapati tiga
mangsa sudah meninggal dunia dengan seorang lelaki dan seorang wanita dewasa
tersepit akibat pertembungan itu.
"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk
mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pasukan
perubatan," katanya.
Sumber: Harian Metro