Monday, 4 December 2017

Lelaki Maut Ditikam, Kereta Dibakar

 
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut dengan kesan tikaman di dada kiri, selain kereta yang dinaikinya turut dibakar dalam kejadian di Taman Arked, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Liu Chee Wei, 25 ditemui penduduk taman selepas terdengar suara mangsa mengerang kesakitan di lorong belakang taman berkenaan, lapor Bh.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu bergelut sebelum dibunuh berikutan kesan kecederaan di tangan kanan dan pipi sebelah kiri.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kita menolak motif kejadian kerana samun berikutan barangan kemas seperti cincin, subang dan jam tangan masih ada pada mangsa.

“Sebuah kereta Perodua Axia yang terbakar juga ditemui dalam semak tidak jauh dari lokasi mangsa ditemui,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Saifi berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui latar belakang mangsa termasuk pekerjaannya.

“Siasatan juga mendapati kereta berkenaan adalah milik rakan mangsa dan kita akan memanggil rakannya untuk membantu siasatan,” katanya.


“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Chai berkata, dia menyedari mangsa ditikam selepas terdengar bunyi anjing menyalak.

“Mangsa ketika itu masih hidup dan sedang memegang bahagian dada yang berlumuran darah.

“Saya sempat bertanya apa yang berlaku, dia memaklumkan kereta dilarikan sebelum meninggal dunia,” katanya.


Sumber :Suara TV