Zul Razali dari Kota Tinggi, Johor ingin
berkongsi cerita. Lebih 10 tahun lalu, kata Zul, dia bekerja di sebuah kilang
kelapa sawit. Masalahnya, jarak antara rumahnya ke kilang berkenaan lebih 40
kilometer menggunakan jalan besar. Tetapi kalau menggunakan jalan pintas
melalui kebun kelapa sawit penduduk sekitar, jaraknya 20 kilometer sahaja.
“Saya pilih untuk guna jalan pintas. Hari pertama, saya ikut kawan saya, Amzan.
Dia dah dua tahun kerja di kilang itu. Kami keluar pukul 5.30 pagi supaya dapat
sampai ke kilang sekitar pukul 6.15 pagi. Sempatlah sarapan dan pergi tandas.
Pukul 7.00 pagi, kami mula kerja.
“Masalah timbul bila esoknya Amzan kena
kerja shift malam dan saya perlu pergi seorang diri. Pukul 5.30 pagi esoknya
saya keluar dengan motor kapcai buruk. Beberapa kilometer di dalam kebun sawit,
saya sampai di sebuah simpang empat. “Alamak… saya mula keliru, simpang mana
hendak diambil. Dipendekkan cerita, disebabkan lupa, suasana yang masih gelap
dan panik, saya tersesat. “Saya berhentikan motor dan menggaru kepala. Ketika
itulah saya nampak bayangan seorang lelaki sedang mengayuh basikal, keluar dari
simpang. Saya terus kejar. “Semakin dekat, saya nampak pakaiannya berwarna
hijau dan memakai topi yang mempunyai kain penutup hingga ke bahu. Saya ikut
sebelah pak cik itu, beri salam dan beritahuyang saya sedang mencari arah
jalan.
“Lelaki itu berhentikan basikalnya dan
perlahan-lahan menoleh ke arah saya. Ya-Allah! Waktu itu saya rasa macam nak
terkencing sebab mukanya kosong! Kepalanya tidak ada. Yang ada hanya topi saja!
“Saya terus pecut motosikal. Tapi disebabkan terlalu takut, saya terbabas.
Waktu hendak mengangkat motosikal, lelaki itu melintas sekali lagi di sebelah
saya dan menolehkan ‘kepalanya’.
Memang betul, mukanya kosong. Bukan itu
saja, di pinggangnya bukanlah parang, tapi pedang. Basikalnya bergerak, tapi
saya tak nampak kakinya mengayuh pedal. Basikalnya juga tidak berlampu. “Saya
angkat motosikal dan terus berpatah balik. Pagi itu saya terpaksa tunggu di
tepi jalan sampailah hari siang. Pukul 9.00 pagi barulah saya sampai ke kilang.
“Saya terus ceritakan pada kawan-kawan apa yang berlaku.Ceh, rupa-rupanya
sebelum itu dah beberapa orang pernah mengalami kejadian serupa.”
Fakta menarik 1: Hantu
Jepun dianggap spesies hantu baru dalam masyarakat Melayu. Ini kerana, hantu
Jepun hanya wujud selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu, semasa Perang Dunia
Kedua. Ia digambarkan sebagai berpakaian seragam tentera, membawa senapang atau
pedang samurai dan tanpa kepala atau kaki. Hantu ini dikatakan mendiami
bangunan pejabat, asrama, hospital dan kawasan lapang. Hantu ini sering dilihat
berkawad pada waktu malam dan bunyi tapak kasut dapat didengari dengan jelas.
Kemunculan entiti-entiti ini dikatakan masih berlaku sehingga sekarang.
Fakta menarik 2:
Kisah hantu Jepun juga dilaporkan berlaku di negara-negara lain yang pernah
ditaklukinya dahulu. Antaranya ialah di Singapura.
Fakta menarik 3: Beberapa
tahun lalu seorang sami Buddha di Taiwan telah membuat replika enam buah kapal
untuk menghantar roh 300 orang tentera Jepun pulang ke tanah air mereka!
Menurut media massa negara berkenaan, tindakan itu dilakukan oleh kuil Ling
Sheng Tang, Tongkang Town, selatan Taiwan, selepas seorang sami bermimpi
didatangi roh jeneral tentera Jepun. Dalam mimpi itu, jeneral berkenaan
memberitahu betapa mereka amat rindukan kampung halaman, tetapi tidak dapat
pulang kerana tidak mempunyai kapal. Jeneral itu menceritakan, dia dan 300
orang lagi anggota tenteranya telah terbunuh selepas dibom oleh kapal perang
Amerika Syarikat. Mayat mereka dibakar, tetapi abunya tidak dikebumikan dengan
cara yang sempurna. Sami tersebut yakin mimpinya itu adalah betul. Ini kerana,
penduduk sekitar sering melihat jelmaan tentera Jepun di sekitar tempat
pengebumian tersebut. Oleh itu, sami berkenaan telah membuat replika enam buah
kapal, kemudian dilayarkan ke laut berhampiran.
Sumber: Kisah Viral
0 comments