Monday, 11 December 2017

Bayi Cirit-Birit 11 Kali Sehari Gara-Gara Minum Susu Tiruan



“SELEPAS tahu susu itu ada yang tiruan semalam, saya terus tukar susu lain untuk anak. Saya sudah serik dan trauma melihat anak saya menderita.”

Demikian kata Nor Seila Nawi, 33, apabila anak bongsunya, Adruce Mikael Ahmad Salahuddin, setahun, mengalami muntah-muntah, cirit-birit dan kemerahan pada badan akibat terminum susu tiruan jenama terkenal, Oktober lalu.


Menyedihkan, Mikael turut mengalami bengkak pada badan, muka dan mata apabila mengambil susu tiruan tanpa sengaja selepas dibeli dengan harga promosi di kedai serbaneka berdekatan rumahnya di Petaling Jaya.


Nor Seila berkata, sejak anaknya mengalami simptom berkenaan sejak dua bulan lalu, dia langsung tidak mengesyaki ianya berpunca daripada jenama susu berkenaan sehinggalah berita rampasan 210 kotak susu rumusan bayi tiruan di Johor Bharu, semalam.

Katanya, sebaik melihat susu tiruan itu adalah jenama yang sama dengan susu yang diberikan kepada Mikael, dia terus bertukar jenama susu yang lain untuk anaknya itu.

“Saya sudah serik melihat anak saya menderita keluar masuk hospital, muntah-muntah sehingga sembilan kali sehari, cirit-birit 11 kali dan najis berdarah sedangkan dia masih kecil.

“Sebelum ini saya sangkakan susu itu tamat tempoh atau dicemari dengan persekitaran kedai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semuanya bermula apabila dia membeli sekotak susu berkenaan yang membekalkan tiga paket 600 gram dengan harga promosi di kedai serbaneka, awal Oktober lalu.

“Hanya beberapa hari sahaja selepas mengambil susu itu, keadaan Mikael lemah, cirit-birit dan muntah-muntah, lalu saya menghantar dia ke Hospital Columbia Asia dan ditahan wad selama empat hari.

“Dia tak minum susu ketika ditahan wad dan sedikit pulih, namun selepas pulang ke rumah, keadaannya semakin menjadi-jadi selepas minum susu dan sekali lagi ke hospital sama, tetapi kali ini lebih lama kerana keadaannya lebih teruk,” katanya.
Menurut Nor Seila, pihak hospital sendiri tidak dapat mengesan penyakit serta punca yang menyebabkan Mikael mengalami simptom seperti itu biarpun menjalani ujian makmal ke atas najis Mikael.
Sebaik sahaja memasuki bulan November, keadaan Mikael lebih stabil meskipun badan anaknya masih kemerahan dan ketika itu Mikael masih menggunakan jenama susu yang sama namun dibeli di kedai lain.

Katanya, dia sudah tidak membeli susu itu di kedai sebelumnya yang menjual dengan harga promosi kerana menganggap kedai itu menjual susu tamat tempoh, tetapi membeli di kedai lain tanpa mengetahui jenama susu berkenaan ada yang tiruan.
“Selepas mendapatkan nasihat dan kebenaran doktor, saya disyorkan menukar jenama susu yang lebih baik.

“Alhamdulillah, biarpun baru sehari mengambil susu jenama lain, kemerahan pada badan Mikael beransur pulih dan kebetulan semalam genap usia Mikael setahun,” katanya yang juga menjalankan perniagaan sendiri.

Menurut Nor Seila yang akan bercuti ke Jepun Sabtu ini, dia berharap percutiannya empat sekeluarga berjalan lancar tanpa sebarang masalah kesihatan pada Mikael.
Nor Seila juga menasihatkan ibu bapa yang memberi anak mereka susu berjenama itu supaya membeli susu berkenaan di pasaraya besar atau kedai bayi yang dijamin keasliannya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi dengan nilai dianggarkan RM42,000 disyaki tiruan menerusi lima serbuan di sekitar Johor Bahru sejak Khamis lalu.

Sumber: Terengganu Times