Assalamualaikum. Nama aku, Amer Eddiey.
Aku nak cerita peristiwa yang terjadi pada diri aku sendiri. Masa itu, aku
dalam perjalanan dari Terengganu ke Batu Pahat. Aku saja pusing pergi ke Port
Dickson (PD) pada masa itu sebab teringin pula nak tengok pantai PD. Boleh
tahan lawa juga, tetapi tempat aku lagi lawalah.
Nak dijadikan cerita, tanpa aku sedari
hari dah semakin gelap. Aku nak teruskan perjalanan pun dah rasa tak larat.
Kebiasaannya kalau aku jalan jauh, mesti ada seorang lagi member aku yang reti
memandu. Tetapi kali ini aku seorang diri saja. Lalu aku mengambil keputusan
untuk bermalam di sebuah hotel berdekatan.
Jam tangan menunjukkan jam 8.45 malam.
Aku terus menuju ke kaunter hotel. Selepas mendapat kunci bilik, aku terus
pergi ke Bilik 12. Ya, aku masih ingat lagi nombor bilik itu. Selesai
membersihkan diri, aku terus baring di katil.
Punyalah lena aku tertidur sampai tak
sedar jam dah 12.30 pagi. Perut aku berbunyi-bunyi, meminta diisikan makanan.
Aku bersiap nak keluar makan. Bila aku buka saja pintu bilik hotel, tiba-tiba
pintu tak boleh dibuka. Entah macam mana boleh jadi begitu.
Aku ketuk dan ketuk pintu itu sampai
sakit tangan aku. Lebih dari sejam aku berusaha untuk cuba membuka pintu bilik,
namun usaha aku hanyalah sia-sia sahaja. Aku cuba menggunakan telefon yang ada
di dalam bilik, tetapi malangnya tidak boleh digunakan pula. Dalam hati, aku
terasa mahu saja menumbuk hidung pemilik hotel ini.
Aku dah buntu, tak tahu nak buat apa. Aku
baring di atas katil sambil mendengar muzik dari walkman. Aku ingat lagi lagu
yang aku dengar pada waktu itu, lagu Nur Nilamsari.
Seketika kemudian, mata aku terlelap.
Tiba-tiba aku terdengar satu suara yang
lembut memanggil-manggil nama aku. “Amerr..”. Ah, ilusi aku saja tu, kataku
dalam hati. Namun tidak beberapa lama kemudian, suara itu kembali kedengaran di
telinga. “Amerr… tolong…”
Aku cabut earphone di telinga, buka mata
dan bilik aku gelap?! Serentak dengan itu aku dengar suara itu tak putus-putus
memanggil nama aku. Suara itu datang dari katil sebelah aku saja. Tuhan saja
yang tahu betapa takutnya aku pada waktu itu.
Aku selimut seluruh badan dan suara itu
masih juga memanggil-manggil nama aku. Aku dah ketakutan tak terkata. Aku pun
cuba menjawab dan bertanya, “Kau siapa???”. Dia kata, namanya Marina dan dia
mati di dalam bilik ini kerana dibunuh oleh rakannya snediri.
Ya Allah, aku tidur dalam bilik orang
mati rupanya. Aku terus baca ayat Quran yang aku ingat. Entah ayat apa yang
keluar dari mulut aku pada masa itu. Aku tutup kepala aku dengan bantal tetapi
suara itu masih kedengaran, Aku menjerit meminta tolong, menjerit sampai habis
suara. Tetapi entah kenapa tiada orang yang mendengar suara aku. Aku hanya
terdengar suara tadi mengilai-ngilai.
Aku dah tak
tahu nak buat apa. Aku terbaring kaku seperti patung di atas katil. Aku dengar
sayu-sayu suara yang mengilai tadi bertukar kepada menangis, mengilai semula
dan bermacam-macam bunyi.
Dah sekian
lama, aku pun tak sedar bila aku tertidur. Bila buka mata, hari dah siang dan
waktu itu waktu dah jam 11 pagi. Aku kemas barang-barang aku, keluar dari hotel
itu. Aku buka pintu bilik, eh, senang pula nak buka pintu itu.
Bila aku
pergi ke kaunter untuk buat pembayaran, aku marah pada kakitangan hotel itu
sebab pintu susah nak dibuka dan telefon bilik tak boleh digunakan. Diorang
juga tidak mendengar aku berkali-kali mengetuk pintu, mahapun jeritan aku malam
tadi.
Bila aku
cakap bilik nombor 12, diorang kata dah hantar orang untuk kemas bilik 12 itu
tetapi tiada orang pun yang tinggal di dalamnya. Aku bertekak dengan diorang
dan ajak mereka ke bilik yang aku tidur malam tadi. Tetapi entah macam mana
bilik yang aku tidur itu nombor 15, bilik di hujung sekali. Padahal bilik
nombor 12 berada berdekatan dengan tangga.
Sah aku
tersilap bilik. Tapi kenapa kunci yang aku dapat boleh buka bilik itu? Selepas
itu, salah seorang kakitangan hotel menarik aku, katanya bukan aku seorang yang
pernah mengalami kejadian seperti ini. Sebelum ini ada juga pelanggan mereka
yang terkena.
Ceritanya,
bilik di hujung itu sememangnya bilik berkunci sebab bilik itu keras. Aku
menjadi hairan, kenapalah mata aku kabur tak nampak nombor bilik.
Aku pun terus
beredar dari hotel itu tanpa perlu membayar apa-apa kerana aku dikira bermalam
dalam bilik yang tidak sepatutnya. Semuanya telah terjawab, tak sangka aku
bermalam di dalam bilik orang kena bunuh.
Nama hotel
tak boleh sebut kerana nak menjaga perniagaan mereka. Berhati-hatilah bila
menyewa bilik hotel.
Sumber: Amer Eddiey