KUALA NERUS – Seorang penunggang Sprint Test maut selepas
motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta berhampiran Litar
Lumba Motosikal Gong Badak di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.17 pagi itu, Nik Nazrul Hisyam
Zulkifli, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di
bahagian kepala dan anggota badan.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang
dipandu seorang remaja berusia 18 tahun membelok ke simpang sebelum mangsa yang
datang dari arah bertentangan dikatakan bertembung dengan kereta terbabit.
Mayat Nik Nazrul yang berasal dari Taman Permint Jaya,
Chendering itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu
untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik
negeri, Superintendan Abd. Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta
Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Terengganu Times