KUALA BESUT – Pembantu kedai makan meninggal dunia di tepi muara
Kuala Besut, di sini hari ini dipercayai kerana masalah kesihatan.
Napi Che Lah, 51, yang dikatakan mengalami masalah batuk kronik
ditemui di atas pasir di kawasan berkenaan kira-kira 8.30 pagi.
Sebelum kejadian itu, mangsa yang sedang bekerja dikatakan muntah dan batuk
sebelum dikatakan mahu ke muara itu untuk berkumur-kumur dan membasuh mukanya.
Bagaimanapun, mangsa dipercayai rebah dan tidak disedarkan diri
sebelum orang awam yang berada di tempat kejadian cuba memberi bantuan.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai
perubatan yang datang ke tempat kejadian selepas dihubungi orang ramai.
Isteri mangsa, Noriani Ismail, 47, berkata, dia berada di rumah
yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian sebelum menerima
panggilan memaklumkan suaminya rebah.
“Sebaik menerima panggilan, saya kemudiannya bergegas ke lokasi
dan setibanya di tempat kejadian mendapati suami sudah tidak bernyawa lagi.
“Selain batuk berdarah, arwah juga mengalami kesihatan lain
termasuk disyaki mengalami jangkitan kuman pada paru-paru tetapi dia tidak
mendapatkan rawatan secara teratur di hospital hingga menyebabkan tahap
kesihatannya semakin teruk.
“Arwah juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi
yang mana dia mendapatkan rawatan secara berkala di klinik kesihatan
berhampiran,” katanya yang mempunyai lapan anak berusia antara 15 hingga 30
tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri
Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian
berkenaan.
Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian berkenaan tidak
mempunyai unsur jenayah sebaliknya kematian biasa kerana masalah kesihatan.
“Keluarga mangsa turut mengesahkan si mati ada menghidapi masalah
paru-paru dan batuk berdarah selain pemeriksaan terhadap buku perubatannya
mendapati ada rekod kesihatan.
“Kes ini tiada kaitan dengan jenayah atau kes bunuh seperti
dakwaan pihak tertentu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”
katanya.
Sumber: Harian Metro