Monday, 20 November 2017

Nampak Emak Saya Tak?

Pada suatu malam, ada seorang lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur mahu pulang ke rumah pada waktu malam. Selalunya ramai orang memilih untuk mengguna lebuh raya Karak pada waktu malam kerana mahu mengelakkan kesesakan jalan raya dan juga bahang panas matahari.

Namun, lelaki ini yang begitu suci pemikirannya daripada kisah-kisah hantu di lebuh raya Karak terlalu penat pada malam itu, lalu memilih untuk berhenti memandu dan tidur di dalam kereta di tepi jalan.

Baru sahaja beberapa minit dia terlelap, dia kembali dikejutkan dengan bunyi ketukan tingkap dari luar. Rupa-rupanya ada seorang budak lelaki yang merenungnya tanpa berkelip-kelip dan bertanya kepadanya di mana ibunya.

Pemandu itu masih mempunyai naluri yang kuat. Nalurinya kuat mengatakan dia harus menghidupkan enjin kereta dan memecut laju dan jangan mempedulikan budak misteri itu. Pemandu itu pun terus meninggalkan tempat tersebut dengan kereta yang dipecut laju.

Namun begitu, dia melihat budak itu masih mengejar dengan laju dan terus bertanya dan bertanya jika pemandu itu tahu di mana ibunya.

Kemudian sebuah kereta polis peronda pun muncul lalu mengekori kereta lelaki itu. Ketika itulah hantu budak sesat cari ibu itu menghilangkan diri. Lelaki ketakutan dari Kuala Lumpur itu pun menceritakan segala-galanya kepada pegawai polis. Pegawai polis memberitahu lelaki tersebut.

Pada suatu ketika dahulu, ada kemalangan berlaku di sini. Kemalangan itu berlaku dipercayai kerana penumpang di dalam kereta tersebut tidak memaki tali pinggang keledar keselamatan semasa memandu. Dalam kemalangan itu, ibu kepada budak tersebut telah tercampak keluar dari keretanya. Manakala budak tersebut kekal di dalam kereta. Disebabkan hal itu, budak itu pun merayau-rayau mencari ibunya sehingga kini.

Ada orang kata semasa kemalangan itu berlaku, budak itu yang duduk di bahagian depan, manakala ibunya sebagai pemandu. Dalam kemalangan itu, cermin pecah dan kaca menusuk ke mata budak itu.