JAKARTA: Tujuh lelaki dimasukkan ke hospital selepas mencelup
tangan mereka ke dalam asid, dipercayai percubaan mereka memantapkan ilmu sihir
yang menjanjikan kebolehan menjadi halimunan, menurut polis, hari ini.
Menurut pihak berkuasa, upacara aneh berkenaan dilakukan minggu
lalu menyebabkan mangsa berasal dari kampung Rawa Kopi terletak di pinggir
Jakarta, mengalami lecur yang serius di bahagian tangan.
Seorang lelaki misteri dikenali sebagai Didi yang berpindah ke kampung itu
beberapa bulan lalu, mendakwa dirinya, guru ilmu sihir tradisional dikenali
sebagai Debus dengan kebolehan melindungi seseorang daripada kecederaan
fizikal.
Lelaki berkenaan menawarkan mangsa belajar sihir secara percuma
selain berjanji memperoleh ilmu ghaib.
“Tujuh mangsa terpedaya dengan kata-kata lelaki yang mereka
rujuk sebagai ‘guru’,” beritahu ketua polis tempatan, Harry Kurniawan kepada
AFP.
Bagi membuktikan kata-katanya, Didi mencadangkan mangsa terbabit
merendam tangan mereka ke dalam kimia yang dipercayai polis adalah asid.
Lelaki yang mendakwa dirinya guru melarikan diri sejurus
sekumpulan mangsa menerima rawatan di hospital. – AFP
Sumber: Terengganu Times