Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca
semua. Harini Mek siti nak kongsi satu kisah benar.
Saya ingin berkongsi pengalaman yang tak mungkin
saya lupakan seumur hidup saya. Mungkin cerita yang ingin saya sampaikan ini
dianggap sebuah dongeng pada halwa pendengaran para pendengar, tapi ia adalah
satu kenyataan yang kami sekeluarga tempuhi.
Kisah ini baru juga berlaku, iaitu kira-kira lima
tahun yang lalu. Waktu itu jam menunjukkan 10.25 malam dan saya sedang menonton
televisyen di ruang tamu. Tiba-tiba ada seseorang mengetuk pintu rumah saya,
dan bila saya buka, saya dapati kakak saya berlumuran dengan darah.
Saya amat terkejut dan panik dengan keadaannya masa
itu. Saya tanya dia kenapa tapi dia hanya mendiamkan diri dan menangis lalu
terus berlari ke bilik air. Saya bergegas ke bilik untuk beritahu mak dan ayah.
Mak dan ayah juga cuba memanggil nama kakak dan
ketuk berkali-kali di pintu tandas tapi kakak hanya mendiamkan diri. Kami
sekeluarga panik dengan keadaan kakak.
Tak lama selepas itu, ada seseorang mengetuk pintu.
Ayah ke pintu untuk menjengah siapa yang datang. Dua orang lelaki menggelarkan
mereka adalah kawan kepada kakak saya. “Cik, saya Amir, kawan Lin…”
Beliau bercakap sambil menangis terisak-isak, “Cik…
Lin meninggal dunia… Dia kemalangan…” Sejurus mendengar kata-katanya, ayah saya
memarahi beliau dan mengatakan kakak ada di bilik air.
Dipendekkan cerita, kami ke tandas untuk memastikan
kesahihan berita yang kami dengar. Pintu tandas diketuk berkali-kali tapi kakak
tetap mendiamkan diri. Ayah memutuskan untuk memecahkan pintu tandas.
Alangkah terperanjatnya kami, tiada sesiapa di dalam
dan ayah menyoal saya tentang kakak. Saya menangis dan bersumpah yang saya
jumpa itu benar-benar kakak dan saya mengatakan kalau saya tipu, kenapa pintu
bilik air terkunci di dalam.
Ayah dan mak hanya tergamam antara percaya dan tak
percaya dengan cerita saya.
Kami pun ke tempat kejadian untuk memastikan berita
yang disampaikan kawan kakak dan cerita itu memang benar. Kakak telah meninggal
dunia di tempat kejadian kerana motor yang ditunggangnya terbabas di jalan.
Motornya remuk dan penuh dengan darah tapi masa kami
sampai, kakak telah dibawa pergi ke hospital untuk bedah siasat. Sudah lima
tahun perkara ini berlaku, tetapi sehingga sekarang saya masih tertanya-tanya,
siapakah yang pulang ke rumah???
Sehingga hari ini saya masih tidak percaya dengan
apa yang saya alami. Saya menjadi trauma setiap kali pintu diketuk kerana
rasakan seolah-olah kakak pulang. Sudah puas saya berubat tapi tiada satu pun
yang dapat membantu saya.