PENDANG: Detik hitam apabila pengsan di dalam kereta
dan akhirnya koma selama 3 bulan yang bermula pada pertengahan 2014 nyata
mengubah kehidupan seorang gadis berusia 24 tahun.
Ummu Diyana Ibrahim menganggap dirinya seperti “mati
hidup semula” yang kini mampu menyambung pelajaran di Universiti Utara Malaysia
(UUM), Sintok. Pelajar itu mengakui apa yang berlaku benar-benar menguji
kekuatan mental dan fizikalnya dan peluang kedua yang diberikan Allah itu akan
dimanfaatkan demi diri, keluarga dan masa depannya.
Katanya, menceritakan peristiwa hitam itu, ia
bermula ketika beliau dalam perjalanan pulang ke kampungnya di sini dari
Behrang, Perak. “Dalam perjalanan, saya rasa macam nak muntah, tak sedap badan.
Jadi, ambil keputusan untuk berhenti berehat sekejap di Rawat dan Rehat (RNR)
Bukit Gantang. “Benda yang terakhir saya ingat, saya biarkan enjin dan penghawa
dingin terbuka kerana mahu terlelap sekejap,” katanya. Bekas pelajar Politeknik
Behrang itu langsung tidak menyangka hanya akan “terbangun” semula selepas
lebih 3 bulan.
Pada saat itu juga, bermulalah perjuangannya untuk
kembali sedar sepanjang terlantar di Hospital Taiping sebelum dipindahkan ke
Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas disahkan mengalami kelemasan
karbon monoksida.
“Sepanjang koma, saya memang dengar dan nampak apa
saja yang berlaku. Cuma saya tidak dapat memberi respons. Seluruh tubuh saya
terkunci,” kata anak bongsu 6 beradik itu.Doktor kemudiannya mengambil
keputusan mahu melakukan intubasi di lehernya namun pihak keluarga meminta
menangguhkan prosedur tersebut kerana memikirkan implikasi yang bakal dihadapi
pelajar itu.
Pantang maut sebelum ajal, Ummu Diyana hanya kembali
sedar pada hari terakhir tarikh penangguhan yang diberikan doktor. “Sehingga
hari terakhir yang diberikan doktor, saya masih belum memberi respons yang
sepatutnya. Ibu bapa saya tidak berputus asa dengan tidak henti-henti bercakap
dengan saya, minta saya kelipkan mata, menangis atau menggenggam tangan mereka
kalau saya sedar. “Entah macam mana, saya kuatkan semangat dan lawan `kunci’
yang mengikat diri saya dan akhirnya saya kembali sedar,” katanya.
Ummu Diyana berkata doktor memang terkejut
memandangkan selama tempoh dirinya koma, pakar perubatan tidak meletakkan
harapan usia dirinya akan panjang terutama selepas melakukan proses imbasan.
“Apa tidaknya, ketika saya dijumpai sewaktu pengsan,
kadar oksigen dalam tubuh saya hanya 20%. Doktor sendiri mengatakan kes saya
sangat ajaib kerana tiada kerosakan kekal pada otak kecuali keadaan saraf saya
sedikit terjejas terutama di bahagian kaki. Suara saya juga hilang buat
seketika,” katanya.
Katanya, sehingga kini doktor tidak dapat mengenal
pasti punca sebenar apa yang berlaku kepada saraf kakinya dan ada yang
berpendapat terdapat saraf yang gagal berhubung dengan otak.
“Jadi, ia memerlukan masa untuk rangsangan saraf itu
kembali normal. Mungkin sebulan, mungkin setahun, mungkin lebih,” katanya.
Biarpun sekarang terpaksa bertongkat dan sesekali
dilanda kesakitan, ia tidak menghalang Ummu Diyana menjalani kehidupan normal
sebagai pelajar tahun pertama di UUM dalam bidang keusahawanan bersama 515
pelajar yang lain bermula pada 6 Februari lepas. Malah, beliau mengakui tidak
mengalami trauma untuk kembali memandu kereta dan menjelaskan, sudah pun
kembali memandu tanpa masalah selepas disahkan sihat oleh doktor.
“Pengalaman mati hidup semula ini, nyata mengubah
perspektif saya mengenai kehidupan. Ketika koma, kehidupan saya seolah-olah
diimbas kembali. “Jadi, saya akan gunakan peluang ini untuk melakukan yang
terbaik. Saya mahu berjaya dalam pelajaran dan mahu mengubah kehidupan,”
katanya.