KUALA TERENGGANU – Niat ikhlas seorang ibu
kepada lapan cahaya mata berkongsi luahan rasa tentang seorang murid yang
didakwanya tidak dapat mengambil keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR) mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Murid lelaki tahun enam itu didakwa ditemui
oleh wanita berkenaan dalam keadaan sedang menangis kerana slip keputusan UPSR
miliknya terpaksa ditahan gara-gara belum menjelaskan ‘yuran’ kepada pihak
sekolah.
Simpati dengan murid berkenaan, wanita itu kemudian
menawarkan bantuan untuk membayar ‘yuran’ yang dimaksudkan sebelum mengetahui
jumlah sebenar bayaran yang perlu dijelaskan iaitu RM249.
Bagaimanapun, posting mengenai kisah itu yang
dimuat naiknya di laman Facebook menimbulkan kekecohan apabila terdapat netizen
yang mempersoalkan kesahihan cerita berkenaan kerana Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) sudah memansuhkan yuran sekolah di seluruh negara.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Dzul
Faa itu percaya timbul salah faham apabila dia menggunakan perkataan ‘yuran’
dalam postingnya yang telah tular itu, lapor Mstar Online.
Bagaimanapun katanya, dia tidak menyalahkan
sesiapa dan menerima seadanya komen positif atau berbentuk kecaman daripada
netizen.
Netizen turut mendakwa Dzul Faa sengaja memuat naik
‘posting’ tersebut untuk mendapatkan publisiti murahan.
“Saya menulis perkataan ‘yuran’ itu dalam
bentuk dialog antara saya dan anak kedua saya mengenai masalah murid itu yang
tidak dapat mengambil keputusan UPSR.
“Bagi kanak-kanak, segala bayaran yang perlu
dibuat kepada pihak sekolah akan dipanggil yuran,” katanya kepada dihubungi,
Ahad.
Jelas Dzul Faa, dia sendiri telah menyatakan
bahawa bayaran tersebut adalah ‘bayaran tertunggak’ yang akhirnya dapat
dijelaskan dengan bantuan daripada seorang sahabatnya.
Dia juga meminta agar semua pihak berhenti
menyalahkan pihak sekolah mahupun guru-guru kerana faham pihak sekolah pasti
mempunyai sebab dan alasan tertentu apabila menahan keputusan murid berkenaan.
“Saya tidak meneliti apakah butiran terperinci
ke atas bayaran tertunggak yang dibuat. Ini kerana saya pernah membayar
pelbagai bayaran kepada pihak sekolah bagi hal-hal yang membabitkan akademik.
“Mungkin tindakan pihak sekolah bersebab dan
saya langsung tidak ingin mempertikaikannya kerana mustahil seorang guru mahu
menganiayai murid-murid dengan sengaja,” ujarnya yang pada ketika itu hanya
mahu mendapatkan slip keputusan murid tersebut dengan segera.
Wanita tersebut juga enggan mendedahkan nama
sekolah berkenaan kerana mendakwa niatnya bukan untuk menunding jari terhadap
mana-mana pihak.
Dzul Faa turut menafikan dakwaan netizen
bahawa postingnya itu hanyalah satu rekaan dan menyifatkan gaya penulisannya
dipengaruhi oleh novel-novel di pasaran.
“Saya ada lapan orang anak yang perlu
diuruskan, sudah tentu tidak ada masa untuk membaca novel.
“Apa yang ditulis itu adalah spontan,” katanya.
“Apa yang ditulis itu adalah spontan,” katanya.
‘Posting’ yang dimuat naik oleh Dzul Faa tular di Facebook pada Jumaat lalu.
Susulan posting tular ini, KPM juga telah
mengeluarkan kenyataan menafikan mengenakan sebarang yuran untuk mendapatkan
keputusan peperiksaan sekolah rendah di laman Facebooknya, awal pagi Ahad.