Setiap pasangan yang berkahwin pastinya
menginginkan sebuah hubungan yang bahagia dan kekal sehingga akhir hayat.
Kadangkala kelakuan anda bakal membuatkan pasangan bosan dan rimas sehinggakan
rasa sayang itu semakin berkurangan.
Rasa cinta itu boleh dipupuk sekiranya
pasangan saling memahami dan berkomunikasi dengan baik. Seorang isteri juga
mempunyai peranan penting agar rumah tangga yang dibina kekal utuh dan
berpanjangan. Pastinya anda ingin disayangi oleh suami hari demi hari.
Percayalah jika isteri lakukan tujuh
perkara ini pasti cinta dan kasih sayang suami akan terus melekat seperti
magnet. Kenapa nak tunggu, ayuh lakukan sekarang!
1. BELAJAR MENDENGAR
Satu sifat wanita yang memang tidak
digemari lelaki adalah kuat membebel. Cuba belajar mendengar dan kurangkan
bebelan anda. Lelaki jarang mahu berkongsi masalah mereka dengan sesiapa. Tapi
sekiranya suami tiba-tiba mahu berbicara secara serius, berilah perhatian
kepadanya. Ada masanya komen isteri tidak diperlukan pada ketika itu kerana
suami sekadar mahu meluahkan bebanan yang ada di dadanya. ‘Telinga’ yang isteri
berikan itu sudah cukup membuatkan suami rasa sedikit lega.
2. BERI SUAMI MASA UNTUK
BERSENDIRI
Kadangkala apabila seseorang lelaki itu
mempunyai masalah atau tertekan dengan sesuatu, apa yang dimahukan adalah
ketenangan untuk dia bersendirian. Berikan suami ruang dan jangan menekannya
dengan lebih banyak soalan kerana ini akan membuatkan fikiran suami lebih
berserabut. Sekiranya dia mahu bercerita kepada anda, dia akan lakukannya
setelah dia bersedia. Wanita yang faham dengan situasi pasangannya dan
bertindak dengan wajar adalah wanita yang disenangi dan disayangi.
3. TUNJUKKAN CINTA DENGAN
PERBUATAN
Kadangkala, perkataan sahaja tidak cukup
untuk menyatakan cinta. Walaupun sudah berkahwin, sentiasalah menyemarakkan
kasih sayang dan cinta anda berdua. Sudah berkahwin bukan alasan untuk anda
tidak perlu melontarkan rasa cinta terhadap pasangan. Sesekali buat kejutan
untuk suami dengan menghantar makanan kegemaran suami di tempat kerjanya. Buat
suami rasa bangga dan cemburu pada orang sekeliling dengan cara anda
melayannya. Ataupun mungkin anda menempah makan malam romantik walaupun bukan
pada hari istimewa untuk anda berdua nikmati masa bersama.
4. MANJAKAN SUAMI
Sudah menjadi sifat seorang lelaki
menyukai wanita yang pandai memanjakan mereka. Memanjakan suami merupakan tugas
isteri. Beri urutan lembut di bahu ketika suami pulang bekerja ataupun urut
kakinya ketika suami hendak tidur. Pasti layanan manja yang isteri berikan ini
akan membuatkan suami bertambah sayang kepada anda.
5. JAGA PENAMPILAN DAN
TINGKAH LAKU
Jaga penampilan dan tingkah laku anda di
hadapan suami. Suami amat suka melihat isterinya sentiasa tampak bergaya dan
menawan bukan hanya ketika keluar rumah, malah di rumah juga. Walaupun usia
isteri semakin meningkat, bukan alasan untuk isteri tidak boleh bercantik untuk
suaminya. Usahalah menjaga penampilan diri agar suami tidak jemu-jemu memandang
dan memuji anda.
Selain penampilan, tingkah laku anda di
luar juga harus ada batasnya. Ingat bahawa anda sudah bersuami dan merupakan
isteri orang. Apa pun yang anda lakukan di luar akan membawa nama suami.
Tingkah laku anda sama ada baik atau buruk boleh memberi kesan kepada nama baik
dan maruah suami.
6. SETIA DAN TAAT
Bersikap setia dan sentiasa taat pada
suami terutamanya ketika suami dilanda musibah yang menimpa dirinya.
Sentiasalah memberi semangat kepada suami walau apa juga keadaan senang mahupun
susah yang menimpa. Jatuh bangun seseorang suami itu kerana adanya seorang
wanita di belakangnya.
7. SENTIASA BERSYUKUR
Bersyukurlah dengan apa yang telah
diberikan oleh suami terhadap anda dan keluarga. Sentiasa ucap terima kasih
kepada suami agar dia rasa dihargai dan dicintai oleh anda. Dengan cara ini,
suami akan lebih mencintai anda sepenuhnya. Jangan sesekali menunjukkan rasa
kecewa kepada suami kerana ini boleh membuatkan suami bersedih.